Buat Renungan

Friday, October 23, 2009

Ganjaran kewangan untuk guru besar cemerlang

Okt 23, 09 8:11pm

Kerajaan akan menawarkan ganjaran berbentuk insentif kewangan dan bukan kewangan serta autonomi mentadbir kepada pengetua dan guru besar sekolahyang menunjukkan prestasi cemerlang.

Ia bertujuan untuk memastikan sekolah ditadbir secara profesional oleh pengetua dan guru besar serta pasukan pengurusan mereka.

Ketika membentang bajet di Parlimen hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bagi sekolah yang menunjukkan prestasi cemerlang, kerajaan akan memperkenalkan Bai'ah (perjanjian) baru bagi menghargai jasa dan prestasi para pengetua serta guru besar.

"Kerajaan akan menentukan sasaran prestasi yang perlu dicapai oleh pengetua dan guru besar yang dipersetujui bersama.

"Sekiranya sasaran tersebut dicapai, ganjaran bentuk insentif kewangan dan bukan kewangan serta autonomi dalam mentadbir sekolah akan diberikan.

"Namun bagi mereka yang tidak mencapai sasaran selama dua tahun berturut-turut, tidaklah pula terlepas daripada pemerhatian pihak kerajaan.

"Tentunya tindakan yang bersesuaian akan diambil. Kesemuanya ini dilakukan atas prinsip kebertanggungan untuk melahirkan generasi hari muka yang cemerlang," kata perdana menteri.

Selain itu, katanya, sebagai galakan, kerajaan berhasrat memberi ganjaran kepada pelajar yang cemerlang dalam pendidikan.

Untuk itu, kata Najib, kerajaan akan menganugerahkan biasiswa nasional kepada 30 pelajar terbaik di kalangan terbaik, berasaskan merit sepenuhnya.

Penerima biasiswa ini, katanya, akan melanjutkan pelajaran ke universiti tersohor di dunia.

Di samping itu, kata perdana menteri, kerajaan akan menukar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada biasiswa bagi pelajar yang memperolehi ijazah sarjana muda kelas pertama atau yang setaraf dengannya mulai tahun depan.

Perdana menteri itu juga berkata pelajar dari keluarga berpendapatan rendah, yang berusia 13 tahun sehingga masih bertaraf pelajar, akan diberi diskaun tambang 50 peratus bagi perkhidmatan keretapi KTMB jarak jauh

"Kad diskaun pelajar 1Malaysia percuma boleh diperolehi dari KTMB. Diskaun tambang ini bermula 1 Januari 2010," katanya.

Kerajaan juga, katanya, menawarkan pakej netbook, termasuk perkhidmatan jalur lebar percuma kepada pelajar universiti dengan bayaran RM50 sebulan untuk tempoh dua tahun.

Sebagai permulaan, katanya, Pakej ini ditawarkan oleh Telekom Malaysia kepada 100,000 pelajar di semua universiti tempatan bermula 1 Januari depan.
Sumber:- Malaysiakini

Read more...

Saturday, October 17, 2009

Hakikat Penyakit Riak



Assalamualaikum w.b.t

Firman Allah dalam surah al-Ma’un ayat 4-6

Maksudnya: Maka celakalah bagi orang yang solat. (Iaitu) orang yang lalai solatnya dan orang-orang yang riak.

Ramai dikalangan kita pernah mendengar perkataan riak ini, tetapi tidak ramai yang sedar bahawa penyakit ini telah wujud dalam diri tanpa disedari dan tidak tahu bagaimana ianya muncul dan seterusnya merebak. Di sini kami akan merungkaikan apakah itu penyakit riak, bagaimana kehadirannya dan bagaimana mengatasinya. Semoga dengan rungkaian ini anda dapat mengambil iktibar dan cuba mengenalpasti adakah riak itu pernah ada dalam diri anda dan ikuti panduan yang kami berikan untuk membuang terus ataupun mengurangkan sedikit penyakit yang merosakkan hati anda tersebut.

Pengertian riak

Riak itu ialah melakukan kebaikan dan amal ibadat semata-mata untuk mencari tempat di dalam hati manusia.

Perkara yang diriakkan oleh manusia;

1- Riak dari segi badan

Riak jenis ini menunjukkan seseorang itu menampakkan keletihannya kerana berpuasa dan banyak berjaga malam untuk beribadat.

2- Riak pada pakaian

Seseorang itu memakai pakaian yang menunjukkan kewarakan dirinya sedangkan hakikatnya tidak. Memakai pakaian sebegini di hadapan golongan tertentu kerana kepentingan diri sedangkan di waktu lain dia bukanlah sebegitu malah hatinya juga bukanlah berniat untuk mendapat keredhaan Allah tetapi mengharap penghormatan daripada orang lain.

3- Riak dengan perkataan.

Riak ini adalah seseorang itu menunjukkan dirinya seorang yang benar dan ikhlas melalui perkataan yang keluar dari bibirnya. Tuturnya seperti seorang penasihat dan pensyarah. Dia memilih lafaz-lafaz yang halus dan dalam maknanya juga kata- kata hikmat beserta hadith. Dia juga berkata seperti kata para Nabi dan aulia sedangkan pada hakikatnya dia sebenarnya sunyi dan kosong.

4- Riak pada amalan

Orang sebegini adalah sering menzahirkan khusyuk dalam solat dan sengaja memanjang-manjangkan rukuk dan sujud apabila ada orang melihatnya. Orang seperti ini sering bersedekah secara terang-terangan, pergi menunaikan fardhu haji, berjalan menundukkan kepala dan kurang berpaling ke kanan dan ke kiri padahal Allah mengetahui batinnya. Sedangkan jika dia bersendirian amalannya bukan sempurna sebegitu, seperti solat dengan cepat, berjalan laju dengan matanya sering meliar ke sana ke mari dan sebagainya.

5- Riak dengan ramainya murid dan pengikut.

Seseorang itu berasa bangga dengan murid dan pengikut yang ramai. Demikian juga seperti seseorang yang sering menyebut nama ulama’ itu dan ulama’ ini bagi menunjukkan dirinya seorang yang banyak bertemu dengan syeikh dan ulama.

Peringkat Riak

1- Riak Akbar
Riak akbar ialah seseorang itu taat melakukan ibadat tetapi untuk mendapatkan sesuatu daripada manusia dan bukanlah untuk beroleh keredhaan Allah SWT. Riak ini adalah berpaling terus daripada Allah pada keseluruhannya kerana hanya berkiblatkan manusia.

2- Riak Asghar
Riak asghar ini pula ialah melakukan sesuatu untuk mendapatkan apa yang ada pada manusia dan apa yang pada Tuhan iaitu melakukan amal kerana Allah dan kerana yang lain daripada-Nya. Riak ini adalah lebih ringan daripada riak akbar kerana orang itu menghadap Allah pada satu segi dan kepada manusia pada satu segi yang lain.

3- Riak Jali ( yang terang )
Riak ini ialah mendorong seseorang itu untuk melakukan amal ibadat. Sehinggakan jika tanpa riak ini dia tidak berminat untuk melakukan amal.

4- Riak Khafi ( yang tersembunyi )
Riak ini pula ialah riak yang tesembunyi dan ianya tersembunyi dalam hati di mana ianya mendorong seseorang itu untuk lebih rajin beribadat.

Bagaimana mengelakkan sifat riak?

Rawatan terbaik bagi segala penyakit di muka bumi ini adalah menghindari dengan menjauhi sebab-sebab dan punca terjadinya penyakit. Begitu jugalah kepada penyakit riak ini, iaitu menjauhi sebab-sebab yang boleh membawa kepada perasaan itu, antaranya ialah;

1- Sifat suka dipuji oleh orang lain. Sifat ini akan membawa kepada bangga diri dan suka menunjuk-nunjuk kelebihan kepada orang lain.

2- Takut dikritik atau dicerca oleh orang lain. Ketakutan ini boleh membawa kepada penampilan yang kurang jujur dan suka berpura-pura.

3- Cintakan kehidupan dan kemewahan dunia dan lupa pada kematian. Seseorang itu melakukan segala pekerjaan adalah semata-mata kerana untuk menarik perhatian orang lain, dan menganggap dirinya hebat. Manusia sebegini mengharapkan ganjaran atas segala pekerjaan yang dilakukan.

Setelah mengetahui sebab-sebab yang menjadi punca riak, mari kita lihat bagaimanakah cara untuk menghindarinya. Terdapat beberapa cara untuk menghindari sifat riak daripada menguasai hati;

1- Sentiasa mengingatkan diri sendiri tentang perkara yang diperintahkan Allah dan juga sering menyucikan hati dengan melakukan ibadat-ibadat khusus seperti zikir dan membesarkan kekuasaan Allah.

2- Mengawasi diri agar sentiasa takut akan kemurkaan Allah. Dengan tabiat ini akan membawa diri agar sentiasa berwaspada dalam melakukan perkara yang boleh mengheret kepada dosa dan seksaan Allah pada hari akhirat kelak.

3- Berwaspada terhadap perkara-perkara yang boleh menghapuskan pahala amalan yang dilakukan akibat riak.

4- Menanamkan dalam diri perasaan bahawa melakukan sesuatu itu kerana manusia sehingga membawa kemurkaan Allah itu adalah suatu perkara yang buruk dan patut dijauhkan.

5- Sentiasa mengawasi diri daripada lalai terhadap ujian dan nikmat yang dikurniakan Allah untuk menghampirkan diri kepada Allah.

6- Ikhlaskan diri dalam setiap amalan yang dilakukan.

Apabila berasa suka dipuji dan diberi penghargaan setiap kali membuat sesuatu perkara yang baik dan berasa terhina apabila ditegur, maka inilah tanda wujudnya sifat riak. Adakalanya terdapat juga orang yang melakukan amal kebajikan dengan niat ikhlas kerana Allah, namun dia mendapat mendapat perhatian daripada orang lain atas amalannya. Keadaan ini tidak diambil kira sebagai riak kerana dia sememangnya niat dengan ikhlas pada awalnya. Namun untuk melakukan satu-satu ibadat pada permulaannya memang akan timbul perasaan riak dan rasa bangga diri, namun apabila amal itu sering dilakukan dan berterusan dengan niat ikhlas pastinya perasaan riak itu akan terhapus sedikit demi sedikit.

Janganlah takut untuk pergi ke masjid, mendengar tazkirah, menunaikan solat jemaah dan sebagainya kerana takut akan dikatakan riak sedangkan dengan riak itulah akan mendorong
dan menggalakkan kita untuk beramal dan meningkatkan ibadat. Tetapi jangan biarkan perasaan riak itu terus menerus menguasai diri kerana apabila ada riak dalam setiap amalan maka amalan yang dilakukan adalah sia-sia belaka. Wallahua’lam.

Read more...

Pendidikan Islam dimantapkan

KUALA LUMPUR 16 Okt. – Kerajaan akan terus memantapkan pendidikan Islam dengan memperluaskan program Jawi, al-Quran, Arab dan Fardu Ain (j-QAF) selain menjadikan Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) sebahagian program sepanjang hayat.

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, untuk mencapai matlamat itu juga, kegiatan dakwah Islamiah akan ditingkatkan manakala tulisan jawi terus diperkasa di sekolah-sekolah.

Beliau berkata, ini kerana kerajaan berpendirian pendidikan agama merupakan asas pembinaan akhlak, sahsiah dan jati diri anak-anak.

“Mesyuarat penyelarasan antara Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi dan Jabatan Perdana Menteri baru-baru ini bersetuju supaya program itu diperluaskan,’’ katanya.

Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapan penggulungannya pada Perhimpunan Agung UMNO 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Ia merupakan maklum balas beliau selaku Menteri Pelajaran terhadap beberapa isu yang dibangkitkan perwakilan pada perhimpunan itu termasuk semasa Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri.

Tambah beliau, antara program dakwah yang dimantapkan di sekolah-sekolah ialah kursus dakwah kepimpinan pelajar, tadarus al-Quran dan program solat bestari.

Katanya, setelah j-QAF diperkenalkan pada 2005, kelas pemulihan jawi telah diwujudkan bagi memulihkan murid-murid Islam yang tidak menguasai tulisan tersebut.

“Mulai 2005 hingga kini, tulisan jawi juga telah disisipkan dalam akhbar Utusan Melayu melalui usaha sama Kementerian Pelajaran,” katanya.

Beliau juga berterima kasih kepada perwakilan yang mencadangkan agar mata pelajaran jawi diperkasakan.

Katanya, tulisan jawi memang satu elemen dalam mata pelajaran pendidikan Islam di sekolah rendah.

“Waktu pembelajaran jawi adalah dua waktu bagi tahun satu dan satu waktu bagi tahun dua hingga enam manakala di sekolah menengah, tulisan jawi diterap oleh guru-guru ketika melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Read more...

Saturday, October 3, 2009

'Doakan kejayaan anak-anak selepas solat'


Othman Rahman (duduk dua dari kanan) serta isteri Noraini Abd. Rahman berkongsi kegembiraan dengan anak-anaknya selepas dipilih Tokoh Ibu Bapa Mithali Daerah Muar di Masjid Sultan Ibrahim, Muar, kelmarin.

MUAR 2 Okt. - "Setiap kali selepas solat, kami berdua sentiasa mendoakan kejayaan anak-anak dan amat memberi penekanan soal pendidikan agama kepada mereka."

Itu rahsia kejayaan membesarkan tujuh cahaya mata yang dikongsi Othman Rahman, 79, serta isterinya, Noraini Abd. Rahman, 69, yang diumumkan sebagai Tokoh Ibu Bapa Mithali peringkat daerah Muar 2009 semalam.

Othman melahirkan kesyukuran dengan pengiktirafan tersebut kerana ia merupakan berkat kesabaran beliau dan isterinya selama membesarkan anak-anak mereka.

"Kami sentiasa memohon untuk kebaikan anak-anak dan doa itu tidak putus-putus kami panjatkan.

"Hubungan dengan anak-anak juga perlu sentiasa terjalin erat dan kami akan berhimpun beramai-ramai setiap kali mendapat peluang," katanya yang merupakan guru takmir di jabatan-jabatan kerajaan dan surau-surau di sekitar daerah ini.

Majlis penyampaian anugerah anjuran Pejabat Agama Islam Daerah itu disempurnakan Pegawai Daerah, Mislan Karmani di Balai Masjid Sultan Ibrahim, di sini.

Anugerah kepada tokoh ibu dan bapa mithali peringkat mukim di daerah ini turut disampaikan kepada para pemenang pada majlis itu.

Othman yang merupakan bekas penyelia Asrama Anak Yatim Muar turut berbangga dengan kejayaan kesemua tujuh anak mereka iaitu empat lelaki dan tiga perempuan kerana berjaya melanjutkan pengajian di institut pengajian tinggi.

Anak sulungnya, Dr. Zulkifli kini memegang jawatan Pegawai Kesihatan Daerah manakala anak lain ialah Saidah (guru); Muhamad Haidhir (Ketua Penolong Pengarah Di Jabatan Perdana Menteri); Ruwaidah (guru) dan Hadfizah, suri rumah yang memiliki diploma daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Anak keenamnya, Alyasa'a pula bekerja sebagai Eksekutif Kanan Kewangan UEM manakala anak bongsunya, Muhamad Fa'aiz kini merupakan Eksekutif Pentadbiran Kolej Universiti Limkokwing.

Noraini yang merupakan suri rumah memberitahu, sambil membesarkan anak-anak di rumah, dia turut menjalankan kelas tuisyen di rumah.

"Untuk membesarkan anak-anak, saya buat banyak kerja sampingan untuk menambah pendapatan keluarga termasuk membuat kuih dan menjual kain baju," katanya yang merupakan ahli jawatankuasa hal ehwal wanita daerah.

Read more...

Thursday, October 1, 2009

Lantik 10,000 guru kanan disiplin

PUTRAJAYA - Masalah salah laku pelajar yang semakin meningkat telah mendorong Kementerian Pelajaran mengemukakan cadangan mewujudkan hampir 10,000 jawatan baru iaitu Guru Kanan Disiplin untuk ditugaskan di semua sekolah kebangsaan dan menengah tidak lama lagi.

Selain daripada tugas hakiki mengajar, mereka mempunyai tanggungjawab lain iaitu menjaga disiplin 5.5 juta pelajar di 9,844 buah sekolah kebangsaan dan menengah.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Ir. Wee Ka Siong berkata, jawatan baru itu adalah tetap dan guru yang dilantik akan mendapat Elaun Tanggungjawab serta pengurangan waktu mengajar.

Namun jelasnya, jumlah elaun itu belum ditetapkan lagi.

"Guru yang menjawat jawatan itu di sekolah kebangsaan akan mempunyai tangga gaji DG32 manakala kakitangan di sekolah menengah pula DG44,'' jelasnya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin Murid di sini semalam.

Menurut Ka Siong, guru-guru terpilih juga dikecualikan daripada mengajar pada waktu pertama dan terakhir dalam jadual kelas sesi persekolahan agar mereka dapat memberi fokus terhadap urusan menjaga disiplin.

Read more...

Salah laku murid meningkat

PUTRAJAYA 30 Sept. – Kadar salah laku disiplin murid sekolah rendah termasuk penyalahgunaan dadah mencatat peningkatan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Ia berbeza dengan pelajar sekolah menengah yang menunjukkan penurunan dalam kes tersebut dalam tempoh yang sama.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, walaupun peningkatan masalah disiplin di sekolah rendah hanya daripada 0.78 peratus kepada 0.79 peratus, pihak kementerian tetap menganggapnya sebagai serius.

Secara keseluruhan, katanya, dalam tempoh enam bulan pertama ini, jumlah murid yang terlibat dengan salah laku disiplin ialah 1.26 peratus iaitu menurun 0.01 peratus jika dibandingkan dengan tempoh sama pada 2008.

“Isu yang melibatkan disiplin murid secara keseluruhannya berada dalam situasi terkawal walaupun ia membabitkan kes berat seperti pukul, gaduh, ponteng sekolah serta masalah disiplin ringan.

“Peningkatan yang berlaku di peringkat sekolah rendah membabitkan ponteng sekolah, kekemasan diri dan kurang sopan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Menangani Disiplin kali ke-2 bersama polis, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), kesatuan-kesatuan guru dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Kadar salah laku disiplin pelajar sekolah menengah secara keseluruhannya menurun daripada 1.96 peratus tahun lalu kepada 1.93 peratus tahun ini.

Statistik kementerian menunjukkan terdapat 3.2 juta murid sekolah rendah dan 2.2 juta pelajar sekolah menengah di seluruh negara.

Ka Siong berkata, jumlah aduan disiplin murid yang diterima bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini ialah 65 kes, menurun 31 kes berbanding 96 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

“Tugas mendisiplinkan pelajar antara tugas utama guru, mana-mana pengurusan sekolah yang didapati cuai dan lalai dalam usaha ini akan dikenakan tindakan,” katanya.

Sementara itu, dalam mesyuarat tersebut, antara cadangan bagi menangani isu disiplin ialah pembayaran elaun tanggungjawab dan pengurangan waktu mengajar bagi guru kanan disiplin di sekolah rendah dan menengah.

Selain itu, mewujudkan jawatan warden di semua asrama sekolah di seluruh negara dan mengecilkan nisbah guru kaunselor daripada 1:500 kepada 1:300.

Ia juga mencadangkan diperkenalkan program rintis Sistem Kawalan Disiplin Murid (e-Disiplin) di 116 sekolah menengah, pelaksanaan piawaian keselamatan sekolah dan kerjasama erat dengan NGO dan Majlis Pemangkin Aspirasi Nasional (Mapan), Persatuan Psikologi Malaysia dan Dana Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF).

Read more...

Dari Mana Tu...

About This Blog

Followers

PENAFIAN / DISCLAIMER

  © Blogger template PingooIgloo by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP