Buat Renungan

Friday, July 31, 2009

Guru Tuntut Imbuhan


ALIMUDDIN MOHD DOM
Bayaran Imbuhan Subjek Penting (BISP) untuk guru mata pelajaran Bahasa Malaysia pula dituntut oleh golongan guru semasa sesi dialog sempena majlis Perhimpunan Warga Pendidik di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), baru-baru ini.

Cadangan itu dibuat dengan alasan bahawa dalam usaha memartabatkan bahasa Malaysia dan memperkukuhkan bahasa Inggeris (MBMMBI), peranan penting guru mata pelajaran bahasa Malaysia tidak boleh dipinggirkan apatah lagi mereka mengajar bahasa yang merupakan bahasa rasmi negara ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom ketika ditanya berhubung perkara tersebut berjanji untuk menimbang dan mengadakan perbincangan mengenai perkara tersebut.

Namun kata beliau, pada masa ini kerajaan telah membelanjakan ratusan juta ringgit untuk bagi membayar BISP kepada guru-guru yang lain.

Pada masa ini guru-guru yang menerima BISP ialah guru mata pelajaran bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

``Kita juga perlu memikirkan kewajarannya dan nanti ada pula guru-guru mata pelajaran lain yang turut menuntut perkara yang sama,’’ katanya.

Sesi dialog bersama Ketua Pengarah Pelajaran tersebut merupakan lanjutan daripada sesi penerangan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dihadiri lebih 1,000 warga pendidik dari seluruh negara.

Sesi dialog yang berlangsung selama kira-kira satu jam itu turut mendengar pelbagai masalah lain termasuk masalah kekurangan guru mata pelajaran bahasa Inggeris di sekolah-sekolah luar bandar.

Seorang guru besar dari Selangor mempersoalkan tentang tempoh perpindahan yang singkat guru bahasa Inggeris dari kawasan bandar ke luar bandar.

``Guru bahasa Inggeris dari bandar ini cantik, ada kereta besar, suami pangkat besar tetapi tidak lama di sekolah luar bandar kerana telah minta ditukarkan ke sekolah bandar,’’ katanya.

Justeru beliau mencadangkan agar pihak kementerian mengambil guru dari kawasan luar bandar untuk mengajar mata pelajaran tersebut kerana hanya guru-guru sedemikian yang boleh memahami dan menerima keadaan persekitaran itu.

``Hanya orang luar bandar sahaja yang boleh membantu pelajar luar bandar,’’ katanya.

Pada sesi dialog tersebut pelbagai cadangan turut dikemukakan oleh golongan guru termasuk mengenai tempoh mengajar yang lebih lama untuk mata pelajaran bahasa Inggeris dan tempoh mengajar yang singkat untuk mata pelajaran lain.

Turut ditanya ialah mengenai kegagalan pelajar bukan Melayu untuk menguasai bahasa Malaysia dan penggunaan sama ada bahasa Malaysia atau bahasa Melayu untuk mata pelajaran tersebut.

Selain itu turut dipersoalkan ialah kewajaran memberi BISP secara wang tunai kepada guru-guru terbabit sebaliknya mencadangkan agar pemberian baucar buku kepada mereka.

Dalam pada itu Alimuddin berkata, semua pandangan dan cadangan yang dilontarkan oleh golongan pendidik akan diberi pertimbangan yang serius.

Berhubung pelbagai isu yang berbangkit mengenai perkara baru yang diperkenalkan selepas pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) beliau berkata, kementerian mempunyai tempoh dua tahun lagi yang membolehkan pelbagai cadangan dikaji untuk manfaat warga pendidikan semua.

Sumber- Portal Pendidikan Utusan

Read more...

Pendidik perlu sokong pemansuhan PPSMI - TPM

Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru warga pendidik di seluruh negara menyokong sepenuh hati pemansuhan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) demi perubahan sistem pendidikan negara.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berkata, golongan guru perlu memahami dan menghayati dasar-dasar baru kerajaan bagi menjelaskan kepada ibu bapa dan masyarakat tentang keputusan pemansuhan itu.

''Pastinya tidak elok kalau di kalangan warga pendidik berdebat ada yang pro dan ada yang kontra. Apabila kerajaan membuat sesuatu keputusan, ia memang ada rasionalnya.

''Justeru saya berharap sokongan 100 peratus dari kalangan warga pendidik atas dasar dan perubahan yang kita buat, biarlah sepenuh hati kalau tidak nanti ada yang berbelah-bahagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perhimpunan bersama warga pendidik di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Muhyiddin turut mengakui pencapaian PPSMI pelajar di bandar agak baik tetapi bilangannya amat rendah.

''Berdasarkan realiti ini kerajaan berpandangan bahawa sekiranya dasar PPSMI diteruskan, majoriti pelajar yang sederhana dan lemah dalam menguasai bahasa Inggeris akan mengalami double jeorpady (kesukaran berganda).

''Jika berterusan, dikhuatiri akan berlaku situasi defisit pengetahuan di kalangan pelajar di mana pelajar yang gagal menguasai konsep asas sains dan matematik menghadapi masalah untuk menguasai ilmu sains dan matematik di peringkat lebih tinggi," katanya.

Muhyiddin berkata, walaupun terdapat suara-suara yang membantah pemansuhan PPSMI terutama di akhbar dan blog, namun suara majoriti senyap harus diambil kira.

''Mungkin 80,000 yang tidak setuju (dengan pemansuhan ini) dalam blog, tapi dekat luar ada dua tiga juta lagi yang menyokong," katanya.

Beliau menambah, lima buah Institusi Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) kampus bahasa Inggeris akan diwujudkan untuk melatih guru-guru bahasa Inggeris supaya guru-guru bahasa Inggeris terbaik dan guru-guru terbaik dari luar negara dapat ditempatkan di kawasan luar bandar.

Ini termasuk menyediakan insentif khusus kepada guru-guru bahasa Inggeris yang bersedia berkhidmat di luar bandar.

Katanya, enam jawatankuasa kecil telah dibentuk untuk melaksanakan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia (MBM) dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBI).

''Jawatankuasa ini bertanggungjawab memperincikan aspek latihan guru, kurikulum, penyediaan buku teks, logistik, personel dan penerangan demi kebaikan kualiti pendidikan kebangsaan," katanya.

Sumber- Portal Pendidikan Utusan

Read more...

RM310.5j tingkat prasarana sekolah luar bandar

BENTONG 29 Julai - Kementerian Pelajaran memperuntukkan RM310.5 juta bagi mewujudkan kemudahan dan prasarana di sekolah luar bandar dan kawasan pedalaman seluruh negara sepanjang tahun ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, peruntukan itu termasuk bagi menyalurkan bekalan elektrik, air, bangunan sekolah dan lain-lain prasarana.

Katanya, keutamaan diberi kepada sekolah luar bandar terutama di kawasan pedalaman Sabah yang sebahagian besar masih lagi ketinggalan khususnya dalam menikmati bekalan elektrik dan air.

"Sebahagian besar sekolah di pedalaman Sabah masih jauh ketinggalan berbanding sekolah di Semenanjung yang sebahagian besarnya sudahpun dilengkapi dengan prasarana, bilik pembelajaran termasuk pusat komputer yang lengkap.

"Kita akan memberikan tumpuan utama bagi melengkapkan kemudahan sekolah pedalaman terutamanya bekalan elektrik kerana tanpanya sukar bagi kerajaan untuk merapatkan jurang digital dan tidak boleh menyalurkan pendidikan berasaskan teknologi maklumat (IT)," katanya.

Mohd. Puad berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Portal e-Pembelajaran di Sekolah Menengah Sulaiman Bentong di sini, hari ini.

Menurut beliau, kerajaan memerlukan peruntukan yang lebih besar dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) supaya para pelajar dan guru dapat belajar serta mengajar dalam keadaan lebih selesa selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melahirkan rakyat berilmu dan berkualiti.

Katanya, kementerian mahu merapatkan jurang digital agar pelajar di kawasan pedalaman dan bandar menerima pembelajaran dan pendidikan yang sempurna terutamanya berasaskan IT.

''Bagi mengatasi masalah sekolah-sekolah pedalaman Sabah yang tidak mempunyai bekalan elektrik, kementerian akan membekalkan generator.

''Dengan adanya bekalan elektrik, kita berharap sekolah-sekolah di pedalaman sabah dapat menikmati kemudahan IT sama seperti sekolah di kawasan bandar," katanya.

Sumber-bernama

Read more...

Semua peperiksaan diteruskan

KUALA LUMPUR 29 Julai - Semua peperiksaan kebangsaan iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tidak akan ditangguhkan walaupun jangkitan influenza A (H1N1) semakin membimbangkan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, peperiksaan itu terutamanya UPSR pada September ini akan tetap diteruskan dan mungkin dilakukan di hospital jika perlu.

"Peperiksaan-peperiksaan ini berpusat, maka kita tidak boleh tukar tarikh sewenang-wenangnya. Antara pilihan yang kita ada ialah melakukan peperiksaan di hospital untuk calon yang sedang dirawat atau melakukannya di sekolah masing- masing tanpa kehadiran pelajar lain yang bukan calon peperiksaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Alimuddin berkata, pihaknya akan mengadakan satu perbincangan dengan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara mengenai kaedah terbaik menjalankan kesemua peperiksaan itu dalam masa terdekat.

Sebanyak 10 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh negara telah ditutup kurang daripada seminggu akibat penularan penyakit itu. Setakat ini, terdapat empat kematian akibat penyakit itu.

Alimuddin juga berkata, alat seperti topeng mulut dan hidung serta cecair nyahkuman akan diedar ke semua sekolah tidak lama lagi bagi mencegah penularan virus itu.

UPSR akan diadakan dari 8 hingga 10 September, PMR dari 7 hingga 9 Oktober dan SPM dari 19 November hingga 16 Disember. - BERNAMA

Read more...

Pelajar miskin dikecuali yuran

Pelajar miskin dikecuali yuran




IBRAHIM Abu Shah dan Ir. Mohd. Zain Mohamed (kiri) sebelum mengadakan mesyuarat bersama Ahli Jawatankuasa Alumni UiTM di UiTM Shah Alam, semalam. – UTUSAN/Saharuddin Abdullah




SHAH ALAM 29 Julai – Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) memohon kepada kerajaan dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) supaya pelajar keluarga miskin dari bandar dan luar bandar yang ibu bapa mereka berpendapatan RM3,000 dan RM1,500 sebulan dikecualikan membayar yuran pengajian.

Pada waktu yang sama pelajar-pelajar tersebut mestilah mempunyai sekurang-kurangnya tiga adik-beradik masih bersekolah rendah atau menengah.

Presidennya, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata walaupun dimaklumkan bahawa UiTM telah mengadakan skim kebajikan tersendiri untuk membantu pelajar-pelajar miskin tetapi beliau harap jaringan tersebut diperluaskan.

‘‘Pihak alumni juga memohon dan mencadangkan supaya UiTM memperkenalkan biasiswa tahunan yang akan dilaksanakan secara direct grant dimulai dengan mengenal pasti potensi pelajar bumiputera cemerlang mulai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

‘‘Mereka ini akan dibiayai sehingga ke peringkat pengajian doktor falsafah dengan syarat akan menabur bakti semula di UiTM,” katanya.

Mohd. Zain menyatakan demikian pada sidang akhbar dan menerusi kenyataan yang diedarkan selepas mengetuai barisan 14 Ahli Jawatankuasa Persatuan Alumni membuat kunjungan hormat ke atas Naib Canselor UiTM, Prof. Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah di sini hari ini.

Beliau berkata, cadangan-cadangan tersebut adalah antara yang dikemukakan dalam pertemuan pertama dengan Ibrahim dengan fokusnya bagaimana mahu mengemblengkan graduan UiTM yang sudah mencecah seramai 362,000 orang.

Tambahnya, disarankan supaya dua pelajar dari setiap negeri dipilih dan dihantar melanjutkan pengajian ke universiti ternama seperti Havard, Oxford, Cambridge, Yale dan Princeton dan Massachusetts Institute of Technology (MIT) dan ia akan ditetapkan oleh Lembaga Pengarah Alumni UiTM.

‘‘Pihak Alumni juga berhasrat untuk mewujudkan Pusat Perkhidmatan dan Skill Alumni UiTM di setiap negeri dengan menyediakan kelas bahasa Inggeris dengan kadar bayaran minimum kepada masyarakat setempat,” katanya.

Beliau menjelaskan, pusat tersebut juga menjadi pusat latihan dan kepimpinan bagi mengkukuhkan jatidiri membina negara bangsa, membimbing kerohanian dalam membina Melayu terhebat dan menyediakan kemahiran bagi mereka yang tercicir alam persekolahan.

Katanya, Yayasan Pendidikan dan Khidmat Sosial Alumni UiTM akan diwujudkan dengan ahli menyumbang RM10 sebulan selain memohon pihak kerajaan menambah dana berasaskan matching grant bagi membantu dalam pihak memerlukan antaranya berkaitan pendidikan dan perubatan.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read more...

100 dipilih sekolah berprestij

PETALING JAYA 28 Julai – Kementerian Pelajaran akan memilih 100 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh negara termasuk sekolah harian dan sekolah berasrama penuh untuk diberi taraf sebagai sekolah berprestij tinggi (SBT).

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, guru-guru dan pengetua yang memimpin sekolah itu akan diberikan Indeks Prestasi Utama (KPI) dan penanda aras yang ditetapkan.

‘‘Saya yakin SBT akan memberikan daya saing yang tinggi di kalangan pengetua.

‘‘Mesyuarat mengenai SBT baru bermula hari ini dan konsep serta modus operandi mengenainya akan dibentangkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin yang juga Menteri Pelajaran pada 31 Julai ini,’’ katanya.

Mohd. Puad berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Cemerlang Kali Kedua dan Majlis Penganugerahan Watikah Pelantikan Pengetua Cemerlang DG52 Tahun 2009 di Hotel Summit di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan), Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim.

Tambah Mohd. Puad, selain konsep SBT perkara lain yang akan dibentangkan kepada Timbalan Perdana Menteri pada 31 Julai ini adalah pendidikan prasekolah sebagai pendidikan kebangsaan.

Sementara itu Noor Rezan ketika ditanya sama ada SBT akan melibatkan sebarang peruntukan, beliau berkata, setakat ini belum ada sebarang perbincangan mengenai peruntukan untuk SBT.

Pada majlis yang sama, Mohd. Puad turut melancarkan buku Amalan-Amalan Terbaik Pengurusan Pendidikan yang dikeluarkan oleh Majlis Pengetua Kanan Kebangsaan.

Sumber: Utusan Malaysia online

Read more...

ADaP Utusan Malaysia sandaran 5A UPSR

KUALA LUMPUR 28 Julai – Program Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP) Utusan Malaysia menjadi sandaran kepada Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) untuk meningkatkan bilangan calon Melayu yang bakal mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini.

Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras, Datuk Wira Syed Ali AlHabshee ketika melancarkan Program Motivasi ADaP dan Skor UPSR di Pusat Rekreasi Cheras di sini kelmarin berkata:

‘‘Tanpa rasa berbelah bahagi, program pendidikan antara kedua-dua agensi itu akan menjadi pemangkin, dan selanjutnya menyemarakkan lagi usaha membangunkan pendidikan para pelajar Melayu di kawasan Cheras.’’

Pada program itu, sebanyak 176 murid calon UPSR 2009 diberi pendedahan tentang teknik dan cara yang betul menjawab soalan kertas Sains, Matematik, Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu Penulisan dan Bahasa Melayu Pemahaman oleh guru-guru pakar panel Utusan Malaysia.

‘‘Daripada 176 yang hadir pada hari ini, saya berharap lebih 90 peratus akan mendapat 5A… bukan 4A atau 3A,” ujar beliau.

Setiap sekolah menghantar lima wakil pelajar.

Syed Ali menambah, YPC kini mempunyai 34 buah sekolah angkat di kawasan Cheras, merangkumi sekolah kebangsaan, sekolah menengah dan tadika.

Beliau turut mengumumkan bahawa setiap peserta yang mengikuti program itu akan menerima RM100 jika mendapat 5A dalam peperiksaan itu nanti.

Sementara itu, Setiausaha Politik Kepada Timbalan Perdana Menteri, Yusoff HM Haniff pula menasihati calon serta ibu bapa menumpukan sepenuh perhatian dan tenaga kepada prestasi akademik anak-anak, dan tidak terlibat dengan sepak terajang politik serta perubahan dasar pendidikan yang menjadi buah mulut orang ramai sekarang.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read more...

Tuesday, July 28, 2009

GERHANA MATAHARI SATU PERINGATAN

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN


GERHANA matahari


BELUM pun berpisah dengan bulan Rejab yang mengingatkan kita tentang kekuasaan dan keagungan Allah melalui peristiwa agung Israk dan Mikraj, kita dijodohkan pula dengan peristiwa gerhana matahari yang menyaksikan satu lagi tanda kebesaran dan keagungan-Nya.

Selaku seorang Muslim, apatah lagi yang mengaku sebagai umat Nabi Muhammad SAW, kita seharusnya peka dengan fenomena alam ini. Seterusnya berusaha memahami iktibar dan pengajaran di sebalik setiap yang berlaku.

Ketahuilah, bahawa kejadian gerhana ini dijadikan oleh Allah bagi menakutkan hamba-hamba-Nya dan mengingatkan mereka tentang kebesaran-Nya.

Di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abi Bakrah r.a, Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya matahari dan bulan itu merupakan dua tanda dari tanda-tanda kebesaran Allah. (Matahari dan bulan itu) tidak menjadi gerhana kerana kematian seseorang ataupun kelahiran seseorang, tetapi Allah menakutkan hamba-hamba-Nya dengan kedua-duanya."

Allah mengingatkan melalui firman-Nya yang bermaksud: Dan biasanya Kami tidak menghantar turun tanda-tanda melainkan untuk menjadi amaran (bagi kebinasaan orang-orang yang memintanya kalau mereka tidak beriman). (al-Israk: 59)

Adalah wajar kejadian gerhana dianggap sebagai suatu peristiwa yang menakutkan, kerana tiada siapa pun yang mengetahui apa yang Allah kehendaki daripada kejadian gerhana ini.

Namun, cukuplah sabda Rasulullah SAW dalam khutbah gerhananya ini mengingatkan kita tentang kehebatan Allah dan peringatan-Nya yang tersirat di sebalik peristiwa ini: "Wahai umat Muhammad! Demi Allah! Sekiranya kalian mengetahui apa yang saya ketahui, sudah pasti kalian akan ketawa sedikit dan banyak menangis."

Malangnya, betapa ramai umat Islam pada zaman ini yang memandang remeh dan tidak gentar bertemu dengan kejadian gerhana ini. Sedangkan ia adalah saat-saat yang begitu mencemaskan penghulu sekelian manusia, Nabi Muhammad SAW.

Berapa ramai yang leka dan asyik dengan pekerjaannya, sedangkan para salafussoleh begitu cemas dan gentar. Mereka berkejaran dan bersegera mengerjakan solat dan berdoa apabila menyaksikan fenomena ini sehinggalah kejadian yang mencemaskan ini berakhir.

Diriwayatkan, bahawa seorang Ahli 'Arifin bernama Tawus, apabila melihat kejadian gerhana matahari, beliau menangis ketakutan hingga hampir-hampir menemui maut. Beliau berkata, "Matahari itu lebih takutkan Allah daripada kita."

Ikutan kita yang agung, Rasulullah SAW gementar dan luruh hatinya semasa melihat kejadian ini. Terdapat banyak hadis yang meriwayatkan tentang reaksi cemas Baginda tatkala berlaku gerhana matahari dan bulan.

Di dalam Sahih Muslim diriwayatkan, ketika berlaku gerhana matahari pada zaman Rasulullah SAW, terkejut dan bingkas bangun ingin mengambil selendangnya untuk dipakai tetapi terambil baju besinya kerana fikiran dan hatinya yang sibuk dan cemas memikirkan kejadian gerhana yang sedang berlaku.

Baginda SAW menjadi begitu cemas kerana takut sekiranya Allah menurunkan bala atau mengisyaratkan akan berlakunya kiamat berikutan gerhana tersebut.

Kebimbangan Nabi SAW ini menyebabkan Baginda memanjangkan doanya dan mencucurkan air mata, lebih-lebih lagi memikirkan nasib umatnya.

Hal ini disebut di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi di dalam al Syamail al Muhammadiah, Abdullah ibn 'Amru r.a berkata: "Pada masa Rasulullah SAW (hidup), pernah terjadi gerhana matahari. Maka Rasulullah SAW mengerjakan solat hinggakan seolah-olah Baginda SAW tidak akan rukuk (kerana terlalu lama berdiri). Kemudian Baginda SAW rukuk, seolah-olah Baginda SAW tidak akan mengangkat kepalanya.

"Kemudian Baginda SAW mengangkat kepalanya, seolah-olah Baginda SAW tidak akan sujud. Kemudian Baginda SAW sujud, seolah-olah Baginda SAW tidak akan mengangkat kepalanya (dari sujud). Kemudian Baginda SAW menghembuskan nafasnya dan menangis seraya berdoa:

"Wahai Tuhanku! Bukankah Engkau telah berjanji kepadaku, bahawa Engkau tidak akan mengazab mereka selagi aku berada bersama mereka. Bukankah Engkau telah berjanji kepadaku bahawa Engkau tidak akan menyiksa mereka, selagi mereka memohon keampunan, sedangkan kami memohon keampunan kepada-Mu".

Apabila Baginda SAW selesai melakukan solat dua rakaat, matahari terang kembali. Baginda SAW pun berdiri, lalu mengucapkan pujian kepada Allah. Kemudian Baginda SAW pun bersabda, "Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda dari tanda-tanda kebesaran Allah. Kedua-duanya tidak akan gerhana kerana kematian seseorang dan tidak pula kerana kelahiran seseorang. Apabila terjadi gerhana, bersegeralah kalian berzikir mengingati Allah".

Sesungguhnya Baginda SAW tidak mengalirkan air mata kerana dirinya sendiri, tetapi Baginda mengalirkan air mata semata-mata kerana mengenang dan kasihkan umatnya serta bimbang Allah akan mengazab mereka disebabkan dosa dan maksiat yang mereka lakukan.

Lihatlah betapa dalam dan suci kasih Rasulullah SAW terhadap umatnya. Walaupun berada dalam keadaan cemas dan ketakutan, Baginda SAW tidak pernah melupakan kita.

Justeru, renungilah, apakah yang kita lakukan demi Baginda SAW? Apakah pengorbanan yang pernah kita lakukan demi mempertahankan agamanya yang tercinta?

Allah SWT dengan segala keperkasaan dan keagungan-Nya, mampu menjadikan atau tidak menjadikan kejadian gerhana matahari dan bulan. Namun, dari perspektif ilmu saintifik yang dicanang oleh sebahagian saintis moden mengatakan semua itu berlaku secara nature yang mesti berlaku mengikut kiraan ilmu bintang yang mereka cipta.

Semuanya itu tidak diyakini dengan pasti, malah berdasarkan sangkaan semata-mata, menurut agakan dan ukuran fikiran mereka yang masih rendah. Sedangkan Nabi SAW menyebut bahawa matahari dan bulan adalah tanda kebesaran Allah dan peristiwa gerhana dijadikan oleh Allah sebagai menakutkan dan mengingatkan hamba-Nya.

Hikmah di sebalik kejadian gerhana

Terlalu banyak hikmah tersirat di sebalik kejadian ini sebagaimana yang banyak disebut oleh ulama. Di antaranya ialah:

lMenzahirkan penguasaan dan pentadbiran Allah terhadap matahari dan bulan.

lMenerangkan kejelikan dan kebodohan orang-orang yang menyembah matahari dan bulan. Firman Allah yang maksud-Nya: Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah kejadian malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula sujud kepada bulan, sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakannya, sekiranya benar kamu hanya beribadat kepada Allah. (al-Fussilat: 37)

lMenggementarkan hati orang-orang yang berasa tenang dengan kelalaian dan dosa-dosa yang dilakukannya.

lMemperlihatkan kepada manusia contoh-contoh peristiwa yang akan berlaku pada hari kiamat sebagaimana firman Allah: Maka (hari Kiamat akan datang) apabila pemandangan menjadi terpendar-pendar (kerana gerun takut), dan bulan hilang cahayanya, dan matahari serta bulan dihimpunkan bersama. (al Qiyamah 7-9)

lMenggambarkan Allah mungkin akan mengazab orang yang tidak berdosa.

Merenung hikmah-hikmah ini, terlintas di fikiran saya, apakah kejadian gerhana matahari yang Allah datangkan sejurus selepas sambutan Israk dan Mikraj merupakan peringatan daripada Allah kepada hamba-hamba-Nya yang masih lagi lalai dan belum juga insaf dengan segala maksiat yang dilakukan sama ada maksiat zahir atau batin.

Sekalipun telah diperingatkan tentang kekuasaan-Nya melalui peristiwa Israk dan Mikraj?

Apakah telah hampir masanya untuk Allah menunjukkan kehebatan dan kekuasaan-Nya yang sebenar? Moga-moga Allah menggolongkan kita di antara hamba-Nya yang sentiasa sedar dan terselamat daripada kemurkaan-Nya

Amalan sunat semasa gerhana

Menerusi sekian banyak hadis berkaitan gerhana, terdapat beberapa perkara sunat yang dianjurkan supaya dilakukan semasa kejadian gerhana. Di antaranya ialah:

lSolat dan berdoa. Rasulullah SAW bersabda: "Apabila kamu melihat kedua-duanya (gerhana matahari dan bulan), maka dirikanlah solat dan berdoalah sehingga dihapuskan apa yang kamu hadapi".

lBerzikir dan beristighfar. Abu Musa berkata: "Telah berlaku gerhana matahari. Maka Rasulullah SAW berdiri dalam keadaan cemas kerana bimbang akan berlaku Kiamat. Lalu Baginda SAW tergesa-gesa pergi ke masjid dan solat dengan berdiri yang terlalu panjang serta rukuk dan sujud yang panjang, yang tidak pernah aku lihat Baginda SAW melakukan seperti itu.

lBerlindung daripada azab kubur. Diriwayatkan oleh Aisyah ra: "Setelah Nabi SAW selesai menyampaikan khutbah gerhana matahari, maka Baginda SAW memerintahkan para sahabat supaya memohon perlindungan dari azab kubur."

lBersedekah. Sabda Rasulullah SAW: "Apabila kalian melihat gerhana, maka hendaklah kalian berdoa kepada Allah, mengerjakan solat dan bersedekah."

lMemerdekakan hamba. Asma' ra berkata: "Sesungguhnya Nabi SAW menyuruh memerdekakan hamba ketika berlaku gerhana matahari. "Dalam satu riwayat: "Gerhana bulan."

Inilah sunnah Baginda SAW ketika berlakunya peristiwa gerhana bulan atau matahari.

Marilah bersama-sama kita menghidupkan sunnah Nabi kita SAW kerana inilah jalan hakiki menuju kesejahteraan di dunia dan akhirat. Tinggalkanlah sunnah ahli bidaah kerana inilah jalan yang membawa kecelakaan di dunia dan akhirat.

Read more...

Sunday, July 26, 2009

5 PERKARA ELOK DISEBUT-SEBUT

Dalam sesi muzakarah kali ini, saya hendak menarik perhatian tentang 5 perkara yang patut disebut-sebut selalu untuk memberi kesedaran kepada kita sepanjang menjalani hidup ini.

Nabi Muhammad saw pernah mengingatkan umat-umatnya tentang kelima-lima perkara ini iaitu:

1. Perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk. Sudah menjadi kebiasaan bagi kita menyebut atau memuji-muji orang yang berbuat baik kepada kita sehingga kadang-kadang kita terlupa hakikat bahawa terlampau banyak nikmat yang telah Allah berikan kepada kita. Lantaran itu, kita terlupa memuji dan menyebut-nyebut nama Allah. Makhluk yang berbuat baik sedikit kita puji habisan tapi nikmat yang terlalu banyak Allah berikan kita langsung tak ingat. Sebaik-baiknya elok dibasahi lidah kita dengan memuji Allah setiap ketika, bukan ucapan Al-hamdulillah hanya apabila sudah kekenyangan hingga sedawa. Pujian begini hanya di lidah saja tak menyelera hingga ke hati.

2. Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia. Dunia terlalu sedikit dibandingkan dengan akhirat. 1000 tahun di dunia setimpal dengan ukuran masa sehari di akhirat. Betapa kecilnya nisbah umur di dunia ini berbanding akhirat. Nikmat dunia juga 1/100 daripada nikmat akhirat. Begitu juga seksa dan kepayahan hidup di dunia hanya 1/100 daripada akhirat. Hanya orang yang senteng fikiran sibuk memikirkan Wawasan Dunia (WD) hingga terlupa Wawasan Akhirat (WA). Manusia yang paling cerdik ialah mereka yang sibuk merancang Wawasan Akhiratnya. Saham Amanah Dunia (SAD) tak penting, tapi yang paling penting ialah Saham Amanah Akhirat (SAA) yang tak pernah rugi dan merudum malahan sentiasa naik berlipat kali ganda. Oleh itu perbanyakkanlah menyebut-nyebut perihal akhirat supaya timbul keghairahan menanam dan melabur saham akhirat.

3. Perbanyakkan menyebut dan mengingat hal-hal kematian daripada hal-hal kehidupan. Kita sering memikirkan bekalan hidup ketika tua dan bersara tapi jarang memikirkan bekalan hidup semasa mati. Memikirkan mati adalah sunat kerana dengan berbuat demikian kita akan menginsafi diri dan kekurangan amalan yang perlu dibawa ke sana. Perjalanan yang jauh ke akhirat sudah tentu memerlukan bekalan yang amat banyak. Bekalan itu hendaklah dikumpulkan semasa hidup di dunia ini. Dunia ibarat kebun akhirat.

Kalau tak usahakan kebun dunia ini masakan dapat mengutip hasilnya di akhirat? Dalam hubungan ini eloklah sikap Saidina Alli dicontohi. Meskipun sudah terjamin akan syurga, Saidina Ali masih mengeluh dengan hebat sekali tentang kurangnya amalan untuk dibawa ke akhirat yang jauh perjalanannya. Betapa pula dengan diri kita yang kerdil dan bergelumang dengan dosa?

4. Jangan menyebut-nyebut kebaikan diri dan keluarga. Syaitan memang sentiasa hendak memerangkap diri kita dengan menyuruh atau membisikkan kepada diri kita supaya sentiasa mengingat atau menyebut-nyebut tentang kebaikan yang kita lakukan sama ada kepada diri sendiri, keluarga atau masyarakat amnya. Satu kebaikan yang kita buat, kita sebut-sebut selalu macam rasmi ayam 'bertelur sebiji riuh sekampung'. Kita terlupa bahawa dengan menyebut dan mengingat kebaikan kita itu sudah menimbulkan satu penyakit hati iaitu ujub. Penyakit ujub ini ibarat api dalam sekam boleh merosakkan pahala kebajikan yang kita buat. Lebih dahsyat lagi jika menimbulkan ria' atau bangga diri yang mana Allah telah memberi amaran sesiapa yang memakai sifatNya (ria') tidak akan mencium bau syurga. Ria' adalah satu unsur dari syirik (khafi).

Oleh itu eloklah kita berhati-hati supaya menghindarkan diri daripada mengingat kebaikan diri kita kepada orang lain. Kita perlu sedar bahawa perbuatan buat baik yang ada pada diri kita itu sebenarnya datang dari Allah. Allah yang menyuruh kita buat baik. Jadi kita patut bersyukur kepada Allah kerana menjadikan kita orang baik, bukannya mendabik dada mengatakan kita orang baik. Kita terlupa kepda Allah yang mengurniakan kebaikan itu.

5. Jangan sebut-sebut dan nampak-nampakkan keaiban atau keburukan diri orang lain. Kegelapan hati ditokok dengan rangsangan syaitan selalu menyebabkan diri kita menyebut-nyebut kesalahan dan kekurangan orang lain. Kita terdorong melihat keaiban orang sehingga terlupa melihat keaiban dan kekurangan diri kita sendiri. Bak kata orang tua-tua 'kuman seberang lautan nampak, tapi gajah di depan mata tak kelihatan'. Islam menuntut kita melihat kekurangan diri supaya dengan cara itu kita dapat memperbaiki kekurangan diri kita. Menuding jari mengatakan orang lain tak betul sebenarnya memberikan isyarat bahawa diri kita sendiri tidak betul. Ibarat menunjuk jari telunjuk kepada orang; satu jari arah ke orang itu tapi 4 lagi jari menuding ke arah diri kita. Bermakna bukan orang itu yang buruk, malahan diri kita lebih buruk daripadanya. Oleh sebab itu, biasakan diri kita melihat keburukan diri kita bukannya keburukan orang lain.

Jangan menjaga tepi kain orang sedangkan tepi kain kita koyak rabak. Dalam Islam ada digariskan sikap positif yang perlu dihayati dalam hubungan sesama manusia iaitu lihatlah satu kebaikan yang ada pada diri seseorang, meskipun ada banyak kejahatan yang ada pada dirinya. Apabila melihat diri kita pula, lihatkan kejahatan yang ada pada diri kita walaupun kita pernah berbuat baik. Hanya dengan cara ini kita terselamat dari bisikan syaitan yang memang sentiasa mengatur perangkap untuk menjerumuskan kita ke dalam api neraka.

Demikian tazkirah minggu ini. Semoga 5 perkara yang disebutkan di atas dapat kita hayati dan diterapkan dalam kehidupan kita seharian. Sama-sama beroda semoga terselamat dari kemurkaan Allah semasa di dunia hingga ke akhirat. Amin...

Read more...

Saturday, July 25, 2009

RATU BALQIS DI ISTANA NABI SULAIMAN

"APABILA ratu itu sampai tanyakan, apakah takhtamu serupa ini?" Jawab ratu, "Seolah-olah inilah dia. Dan kepada kami telah diberikan pengetahuan sebelum ini, dan kami adalah orang-orang yang tunduk kepada Tuhan. (an-Naml: 42)

RATU Balqis terpaksa datang mengadap Nabi Sulaiman di istana bagi menyelamatkan diri dan kerajaannya. Ini kerana Nabi Sulaiman bersama bala tenteranya berjanji untuk memerangi Ratu Balqis sekiranya dia enggan beriman kepada Allah SWT.

Maka Ratu Balqis bersama pembesar-pembesar berangkat menuju ke istana Nabi Sulaiman. Setelah sampai di hadapan istana Nabi Sulaiman, Ratu Balqis berasa bingung dan ragu-ragu kerana istana Nabi Sulaiman menyerupai istananya.

"Wahai Balqis, adakah istana aku ini sama dengan istanamu di Saba'?," tanya Nabi Sulaiman kepadanya.

"Memang bentuk istana ini menyerupai istana aku," jawab Ratu Balqis.

"Ini adalah istanamu, aku membawa istanamu ke mari dengan mudahnya kerana Allah SWT telah memberi pengetahuan kepada aku. Sesungguhnya aku tunduk dan beriman kepada-Nya."

"Aku yakin ini adalah istanaku," jawab Ratu Balqis lagi.

Kemudian, Ratu Balqis dipersilakan masuk ke dalam istana yang lantainya diperbuat daripada kaca yang putih bersih, rata dan licin. Di bawahnya dialirkan air sehingga nampak seakan-akan lantai istana itu penuh dengan air.

Ratu Balqis pun masuk ke dalam istana Nabi Sulaiman. Ketika berjalan masuk ke dalam istana itu, Ratu Balqis menyingkap kainnya agar tidak membasahi gaun yang dipakai sehingga menampakkan kedua-dua betisnya. Dia menyangka lantai istana itu dipenuhi dengan air.

"Tidak usahlah kamu menyingkap kainmu itu. Lantai itu bukannya dipenuhi dengan air tetapi ia diperbuat daripada kaca yang sangat nipis dan licin. Oleh kerana itulah ia nampak berkilau-kilauan seperti adanya air," kata Nabi Sulaiman.

"Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiayai diriku sendiri dengan menyembah matahari. Aku telah tersesat dan melalaikan nikmat yang diberikan oleh-Mu. Ampunilah diriku ini. Kini aku tunduk kepada-Mu dan berserah diri kepada Sulaiman, nabi-Mu dengan penuh keyakinan. Kasihanilah diriku wahai Tuhanku sekelian alam. Sesungguhnya hanya Engkaulah yang berhak disembah," kata Ratu Balqis.

Read more...

SIMPAN MAKLUMAT MURID DALAM PANGKALAN DATA


PULAU PINANG 24 Julai - Sistem Maklumat Murid (SMM) versi 4 dibangunkan bagi membolehkan s

emua data murid yang memasuki alam persekolahan disimpan dalam pangkalan data dan digunakan sebagai rujukan.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim berkata, sistem yang melalui proses penambahbaikan dan pengubahsuaian itu menggabungkan SMM dan Borang Maklumat Murid (BMM) menjadikannya lebih terkini.

Katanya, SSM versi 4 merupakan satu kejayaan penyelarasan bagi operasi kutipan data dan maklumat murid dari peringkat sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri dan kementerian.

Menurut beliau, untuk sampai ke tahap aplikasi yang terkini itu bukanlah sesuatu yang mudah.

''Kita telah menambah medan-medan maklumat baru seperti cita-cita, kumpulan darah, masalah kesihatan dan sebagainya.

''Ini antara lain untuk meringankan tugas guru supaya tidak perlu mengisi borang berkali-kali. Mereka hanya perlu memilih maklumat yang diperlukan,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan pelancaran sistem tersebut di sini hari ini.

Menurut Noor Rezan, sistem itu juga akan membolehkan semua maklumat tersebut diakses dan dianalisis untuk pelbagai kegunaan bukan hanya untuk bidang pendidikan sahaja.

Katanya lagi, kemudahan itu kini digunakan di kira-kira 10,000 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.

''Dengan adanya sistem pangkalan data tunggal, ia dapat menjadi sejarah yang mana negara mempunyai pangkalan data setiap rakyat dan boleh digunakan untuk perancangan serta pelaksanaan program dan projek- projek pembangunan negara.

''Selain itu, kita berhasrat untuk menjadikan SMM satu aplikasi canggih dengan satu sentuhan jari untuk mengakses semua maklumat yang dicari dalam memacu tahap pendidikan negara bertaraf dunia," katanya.

Noor Rezan berkata, beliau berharap warga pendidik yang terlibat secara langsung dengan aplikasi SMM versi 4 berusaha mempertingkatkan ilmu dan kemahiran teknologi maklumat agar sistem itu dapat digunakan dengan lebih berkesan.

Read more...

Friday, July 24, 2009

BEBERAPA ISU TENTANG BATAL PUASA

Berikut adalah beberapa isu yang sering menjadi pertanyaan masyarakat awam mengenai batal atau tidak puasa seseorang jika berlaku atau melakukannya.


1) Darah keluar dari tubuh ; sama ada kerana berbekam, ambil darah pesakit, menderma darah, tercedera, darah keluar dari hidung dan sebagainya.
Hukumnya : Tidak batal puasa kerana yang membatalkan jika memasukkan sesuatu ke tubuh melalui saluran terbuka hingga ke perut dan bukannya �yang keluar' dari tubuh. (As-Siyam Muhdathatuhu wa hawadithuhu, Dr Muhd �Uqlah, hlm 215).
Adapun pandangan batalnya puasa dengan berbekam berdasarkan hadis riwayat Abu Daud dan Ibn Majah maka hukum hadis ini telah termansuh dengan hadis dari Ibn Abbas yang menyebut bahawa Baginda SAW berbekam dalam keadaan baginda berpuasa. (Riwayat Al-Bukhari, 3/43).

2) Memasukkan sesuatu ke rongga terbuka dan dikeluarkan kembali tanpa sampai ke perut seperti memasukkan alat tertentu ke dalam kemaluan atau dubur ketika proses perubatan, atau memasukkan jari ke dalam hidung, telinga, mulut dan dubur.
Hukumnya : Tidak membatalkan puasa kecuali jika alatan itu dibiar tinggal di dalam kemaluan tadi, atau memasukkan jari ke dubur dan kemaluan dengan tujuan untuk melempiaskan nafsu, maka ia membatalkan puasa.
Jika tujuannya adalah untuk istinja' atau membasuh maka hukum yang lebih kuat menurut para ulama adalah tidak batal. (As-Siyam, Dr Md �Uqlah, hlm 211). Ini juga dipersetujui oleh Syeikh Atiyyah Saqar yang mengatakan masuk sesuatu ke telinga dan hidung yang tidak sampai ke perut atau bahagian otak adalah tidak membatalkan puasa (Min Ahsanil Kalam fil Fatawa).
Walaupun begitu adalah lebih baik menjauhinya sekiranya tiada tujuan yang mendesak kerana terdapat pandangan ulama yang mengatakan ianya boleh membatalkan puasa dan perbuatan menjauhi perkara yang terdapat perbezaan pendapat itu adalah lebih baik.

3) Pil elak haid untuk puasa penuh :
Hukumnya : Harus digunakan dengan syarat telah dipastikan oleh doktor yang berwibawa dan boleh dipercayai bahawa penggunaanya tidak membawa mudarat.

4) Penyembur gas untuk pesakit lelah :
Menurut kajian dan pengakuan para doktor, gas semburan itu punyai jisim-jisim putih yang jelas kelihatan jika di sembur di atas kertas. Selain itu, hampir 90 % darinya akan terus masuk ke tekak dan melekat di esophagus dan terus ke perut. Ini bermakna ianya jisim-jisim gas itu masuk ke perut setiap kali semburan. Justeru sudah pasti ia membatalkan puasa. Demikian pandangan awal dari Majlis Fiqh Antarabangsa yang bersidang Julai 2007 baru-baru ini, tetapi mereka telah menarik balik keputusan tersebut untuk dibincangkan lebih terperinci dalam persidangan akan datang.
Bagaimanapun dalam hal ini para ulama masih bergantung kepada maklumat yang lebih jelas dari para doktor bagi memberikan fatwa tepat kerana Syeikh At-Tantawi, Syeikh Dr Muhd �Uqlah, menyebut hukumnya tidak batal kerana gas itu hanya terhenti di paru-paru dan tidak masuk ke perut.
Manakala, ubat lelah jenis hidu melalui hidung adalah membatalkan puasa kerana ia akan masuk ke bahagian kepala. (As-Siyam, Dr Md Uqlah, hlm 226)

5) Suntikan ke dalam tubuh melalui tangan, kaki dan lain-lain anggota selain dari rongga.
Hukumnya : Jika suntikan untuk tujuan perubatan semata-mata, maka ulama telah bersepakat tidak membatalkan puasa (Al-Qaradawi, hlm 100 ; �Uqlah , hlm 226). Demikian juga hukumnya suntikan kalsium dan sebagainya untuk kekuatan badan demi perubatan.
Jika dilakukan suntikan makanan dan air seperti glukos dan lain-lain untuk tujuan memberikan tenaga menggantikan makanan/air maka ia membatalkan puasa.
Tetapi jika suntikan bahan makanan dan air ke dalam badan untuk tujuan perubatan; para ulama sekali lagi berbeza pandangan : Pandangan majoriti adalah : Tidak membatalkan puasa kerana ia tidak masuk ke dalam tubuh melalui rongga terbuka dan ia tidak mengenyangkan serta tidak bercangah dengan hikmah puasa. Ia adalah fatwa oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Syeikh Md Bakhit, Syeikh Abd Rahman Taj, Syeikh Ahmad As-Syurbashi, Keputusan Lajnah Fatwa Azhar tahun 1948 (Taysir Al-Fiqh As-Siyam, hlm 100; Fatawa Syar'iyyah, hlm 268 ; Yasalunaka, 5/53 dll ).

6) Berkumur-kumur dan memasukkan air ke rongga hidung semasa wudhu.
Hukumnya : Tidak membatalkan puasa, cuma jika berlebihan berkumur ulama dalam mazhab Syafie mengatakan ia boleh membatal puasa. Justeru, jauhilah berlebihan berkumur ketika wudhu apatah lagi dengan niat ingin menyegarkan mulut dan badan.
Ia berdasarkan hadith : 'Sempurnakan wudhu , basuhlah celah-celah jari jemarimu, dan lebih-lebihkan menyedut air ke hidungmu kecuali tatkala kamu berpuasa ( Riwayat Abu Daud , no 142 ; At-Tirmidzi, 788 ; Al-Hakim, Sohih menurut Ibn Khuzaymah, Ibn Hibban & Al-Hakim dan dipersetujui oleh Az-Zahabi ; albani ; Sohih).

7) Melakukan Maksiat seperti tidak solat :
Hukumnya : Menurut pandangan mazhab dan ulama yang ramai tidak membatalkan puasa, tetapi dosa maksiat itu akan ditanggung berasingan mengikut jenis maksiat, malah mungkin bertambah besar dosanya kerana menodai kehormatan Ramadhan. Pahala puasanya pula boleh terlupus kerana dosa itu, ia juga telah menyimpang dari tujuan berpuasa iaitu bagi melahirkan insan taqwa dan menjauhi maksiat. (Qaradawi, hlm 104)
Nabi SAW bersabda : 'Barangsiapa sempat bertemu Ramadhan dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauh ia dengan Allah' (Riwayat Ibn Hibban).

8) Mencium lelaki dan wanita semasa berpuasa
Hukumnya : Mencium isteri atau suami tatkala berpuasa, tidak batal menurut majoriti ulama.
Ia berdasarkan beberapa dalil antaranya :-
Riwayat Hadis Nabi SAW yang bermaksud: 'Nabi S.a.w mencium dan bermesra (dengan isterinya) dalam keadaan ia berpuasa, tetapi baginda adalah seorang yang menguasai diri dan nafsunya' (Riwayat Abu Daud, 2/311)
Dalam riwayat yang lain diceritakan : Kami bersama Nabi tiba-tiba didatangi oleh seorang pemuda dan bertanya : Aku berpuasa dan aku mencium isteriku, jawab nabi : Jangan ; tiba-tiba datang seorang tua dan bertanya soalan yang sama : Jawab nabi : Ya ( tiada masalah) ; kami kami saling berpandangan antara satu sama lain, maka nabi berkata :-
'aku tahu apa mengapa kamu saling berpandangan antara satu sama lain, sesungguhnya orang tua mampu mengawal dirinya (nafsu)' (Riwayat Ahmad dan At-Tabrani, sanad terdapat Ibn Lahi'ah yang diperkatakan tentangnya, menyebabkan hadis dianggap dhoif)
Kesimpulannya, ia tidak membatalkan puasa namun ciuman sebegini tidak harus jika ia boleh membawa mudarat seperti menaikkan nafsu dan boleh membawa kepada persetubuhan di siang hari di bulan Ramadhan.

9) Wanita tamat haid
Wanita tamat haid pada waktu malam dan sempat niat sebelum terbit fajar subuh maka sah puasanya walaupun belum mandi hadas.
Jika ia tidak sempat berniat sebelum fajar subuh, kemudian pada jam 8 pagi haidnya kering walaupun ia belum makan dan minum apa-apa pada pagi itu, maka tidak sah ia berpuasa pada hari itu, walaupun begitu lebih afdhal jika ia imsak.
Dalilnya adalah :-
Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud : 'Barangsiapa yang tidak berniat untuk puasa sebelum fajar, tiada puasa (wajib) baginya' ( Riwayat Abu Daud, 3/108 ; Albani : Sohih )

10) Keluar air mazi ; Air mazi adalah air yang keluar dari kemaluan lelaki atau perempuan apabila timbul syahwat. Banyak persoalan berkenaan keluarnya air mazi semasa berpuasa, samada ia membatalkan puasa atau tidak.?
Pendapat dalam mazhab Hanafi, Syafie, Awzai'e, Hasan albasri, As-Sya'bi dan pendapat Imam Ahmad dalam satu fatwanya mengatakan bahawa ia tidak membatalkan puasa.
Walaubagaimanapun kebanyakan ulama dalam mazhab Hanbali menyatakan, ia membatalkan puasa.

11) Keluar air mani tanpa setubuh
Para ulama bersepakat keluar air mani kerana bermimpi di siang hari di bulan Ramadhan atau kerana sakit tertentu tidak membatalkan puasa.
Mereka juga bersepakat mencium dan menyentuh sehingga keluarnya mani dengan syahwat adalah membatalkan puasa dan wajib qadha.
Adapun keluar air mani kerana berfikir lucah dan melihat dengan syahwat, tidak membatalkan puasa menurut mazhab Syafie, Hanafi. (Al-Mughni, 4/159)
Manakala mazhab Hanbali dan Maliki mengatakannya batal kerana ia adalah sama dengan keluar mani kerana sentuhan.
Walaupun sebahagian ulama mengatakan ianya tidak batal, perbuatan berfikir lucah dan melihat dengan nafsu syahwat hendaklah dielakkan kerana ia benar-benar bercanggah dengan tujuan dan maqasid puasa dalam Islam.

12) Menelan air liur
Hukum : Ia tidak membatalkan puasa disebabkan terlalu sukarnya untuk menjaga hal seperti ini. (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/159)

13 ) Mandi
Tiada masalah untuk orang berpuasa mandi apatah lagi mandinya bermaksud untuk mengangkat hadas besar atau bersuci. Dalilnya adalah hadis yang menunjukkan Nabi s.a.w mengizinkan orang yang junub mandi selepas waktu subuh. Ibn Abbas juga pernah disebutkan mandi ketika berpuasa.
Walaubagaimanapun makruh mandi jika bertujuan menyegarkan badan dari keletihan berpuasa apatah lagi jika dilakukan selepas tergelincir matahari (waktu zohor).

Read more...

TAZKIRAH PANITIA PENDIDIKAN ISLAM

ISRAK DAN MIKRAJ

PERISTIWA Israk dan Mikraj mengandungi banyak pengajaran yang perlu dijadikan umat Islam teladan bagi menimbulkan keinsafan dalam diri untuk ke arah kebaikan.

Di antara pengajaran itu ialah:

1. Kuasa Allah tidak terbatas dan Dia boleh melakukan apa saja yang dikehendaki-Nya seperti membawa Rasulullah dari kota Makkah ke Baitulmaqdis dan dibawa menghadap ke hadrat-Nya di Sidratul Muntaha dalam tempoh singkat iaitu satu malam.

Ini kerana apabila Rasulullah menceritakan peristiwa ini kepada masyarakat umum di Makkah, mereka mentertawakan Baginda. Hanya Saidina Abu Bakar mempercayai kata-kata Rasulullah dan beliau diberi gelaran As-Siddiq yang bermaksud orang yang benar.

2. Sebelum Rasulullah diIsrakkan, baginda menjalani suatu `pembedahan' untuk membersihkan hati serta dimasukkan unsur rohani, iman dan hikmat. Ini menunjukkan bahawa pada peringkat pertama untuk bertemu Allah, kita perlu membersihkan diri dan jiwa daripada pelbagai sifat buruk dan menanamkan sifat baik dan ihsan dalam diri. Dengan jiwa tenang, penuh keimanan dan ketakwaan, kita akan beroleh kemudahan untuk bertemu dan menghadap Allah.

3. Pelbagai peristiwa yang dilihat dan dialami Rasulullah ketika Israk bersama malaikat Jibril memberikan gambaran menyeluruh perihal manusia di bumi ini dalam menjalani kehidupan sebagai khalifah Allah. Ada yang melakukan kebajikan manakala yang lain kekal dalam kemaksiatan. Manusia akan diadili berdasarkan amalan mereka dan menerima balasan yang setimpal daripada Allah berpandukan kepada apa dikerjakan.

4. Allah juga menunjukkan kepada Rasulullah serta umatnya iman dan akidah teguh adalah asas kepada sifat keIslaman sejati dan akan diberi balasan baik oleh-Nya. Ini berlaku kepada tukang sikat Firaun, Mashitah sekeluarga.

5. Rasulullah memilih susu berbanding arak yang ditawarkan oleh Jibril. Ini jelas menunjukkan bahawa susu adalah minuman berkhasiat. Arak pula tidak disukai Baginda dan Allah kerana memabukkan dan akan menyesatkan umat Islam daripada mengingati Allah.

6. Beberapa tempat yang disinggahi Rasulullah untuk mengerjakan solat seperti Madinah, Bukit Tursina dan Masjidil Aqsa adalah tempat yang terpilih dan mulia. Oleh itu, jika kita berkesempatan untuk berkunjung ke sana, adalah sunat untuk mengerjakan solat di tempat itu.

7. Allah Maha Pengampun lagi Maha Mendengar. Bermula daripada perintah umat Islam diwajibkan mengerjakan solat 50 kali sehari semalam, atas permohonan Rasulullah sebagai kekasih-Nya berulang kali (sebanyak sembilan kali), Allah mengurangkannya kepada lima kali saja sehari semalam seperti yang kita kerjakan hari ini.

8. Surah Al-Fatihah dan ayat Kursi adalah ayat suci al-Quran banyak keberkatannya sekiranya dibaca dan diamalkan dalam kehidupan seharian. Ini kerana surah ini dinyatakan dengan jelas oleh Allah kepada Rasulullah ketika mengdadap-Nya.

Kejadian yang berlaku perlu diperhalusi oleh umat Islam bagi memantapkan akidah dan keimanan mereka di samping melakukan muhasabah diri untuk mengubah akhlak ke arah kebaikan dengan mengambil pengajaran daripada kebesaran dan keajaiban yang berlaku ketika peristiwa itu.

Sebelum Israk dan Mikraj:

RASULULLAH saw mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh jibril, mika`il dan satu malaikat yang lain. Hati baginda saw dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman.ke dalam dada Rasulullah saw. Selesai pembedahan, didatangkan bintang Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu. Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masdil-Aqsha):

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah saw diiringi (ditemani) oleh Jibril a.s dan Israfil a.s. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat- tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah diarah oleh Jibril supaya berhenti dan bersembahyang dua rakaat. Antara tempat- tempat berkenaan ialah: Madyan dan Tursina, iaitu tempat nabi Musa as berkata-kata (munajat) dengan Allah; Baitul-Laham (tempat nabi 'Isa a.s dilahirkan).

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah saw menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyaksikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah- olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Raslulullah saw dibertahu oleh Jibril : Itulah kaum yang berjihad fi sabilillah yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

Tempat yang berbau harum. Rasulullah saw diberitahu oleh jibril : Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai tuhan).

Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibril meberitahu Rasulullah : Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu neraka jahannam. Kata Jibril : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibril: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibril : Itulah orang yang makan riba`.

Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibril : Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibril: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibril: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibril : Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibril : Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatiankepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah saw tidak menghiraukannya. Kata Jibril: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

Tiba di masjid al-Aqsha, Rasulullah turun dari buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi ma`mum.

Rasulullah saw terasa dahaga, lalu dibawa Jibril dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibril: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah): Didatangkan mi'raj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah saw dan Jibril a.s. naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

Langit Pertama:

Rasulullah saw dan Jibril masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan nabi Adam a.s. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

Langit Kedua:

Nabi saw dan Jibril naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan nabi 'Isa a.s dan nabi Yahya a.s.

Langit Ketiga:

Naik langit ketiga. Bertemu dengan nabi Yusuf a.s.

Langit Keempat:

Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan nabi Idris a.s.

Langit Kelima:

Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan nabi Harun a.s yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

Langit Keenam:

Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan nabi-nabi. Seterusnya dengan nabi Musa a.s. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibril) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

Langit Ketujuh:

Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan nabi Ibrahim Khlilullah yang sedang bersandar di Baitul- Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah saw, nabi Ibrahim a.s. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH". Mengikut riwayat lain, nabi Irahim a.s bersabda, "Sampaikan salamku kepada umahmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanaman- ya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibril masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul- Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

Tangga Kedelapan:

Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah s.a.w menyaksikan pelbagai keajaipan pada pokok itu : Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata- permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah s.a.w dapat menyaksikan pula sungai al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

Tangga Kesembilan:

Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah s.a.w masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

Tangga Kesepuluh:

Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul- Arbab lalu dapat menyaksikan Allah Subhanahu wa Taala dengan mata kepalanya, lantas sujud.

Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul- Nya: Allah S.W.T: Ya Muhammad. Rasulullah : Labbaika. Allah S.W.T Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan. Rasulullah Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan. Allah S.W.T: Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembiran dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji- panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang. Selesai munajat, Rasulullah s.a.w di bawa menemui nabi Ibrahim a.s kemudian nabi Musa a.s. Nabi Musa a.s. menyuruh Rasulullah s.a.w merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Selepas Mikraj:

Rasulullah a.s turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peistiwa israk-mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rajab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu a'lam.

[Ringkasan dengan bahasa moden daripada kisah Israk Mikraj dalam kitab Jam'ul-Fawaa`id]

Read more...

Dari Mana Tu...

About This Blog

Followers

PENAFIAN / DISCLAIMER

  © Blogger template PingooIgloo by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP