Buat Renungan

Friday, July 24, 2009

BEBERAPA ISU TENTANG BATAL PUASA

Berikut adalah beberapa isu yang sering menjadi pertanyaan masyarakat awam mengenai batal atau tidak puasa seseorang jika berlaku atau melakukannya.


1) Darah keluar dari tubuh ; sama ada kerana berbekam, ambil darah pesakit, menderma darah, tercedera, darah keluar dari hidung dan sebagainya.
Hukumnya : Tidak batal puasa kerana yang membatalkan jika memasukkan sesuatu ke tubuh melalui saluran terbuka hingga ke perut dan bukannya �yang keluar' dari tubuh. (As-Siyam Muhdathatuhu wa hawadithuhu, Dr Muhd �Uqlah, hlm 215).
Adapun pandangan batalnya puasa dengan berbekam berdasarkan hadis riwayat Abu Daud dan Ibn Majah maka hukum hadis ini telah termansuh dengan hadis dari Ibn Abbas yang menyebut bahawa Baginda SAW berbekam dalam keadaan baginda berpuasa. (Riwayat Al-Bukhari, 3/43).

2) Memasukkan sesuatu ke rongga terbuka dan dikeluarkan kembali tanpa sampai ke perut seperti memasukkan alat tertentu ke dalam kemaluan atau dubur ketika proses perubatan, atau memasukkan jari ke dalam hidung, telinga, mulut dan dubur.
Hukumnya : Tidak membatalkan puasa kecuali jika alatan itu dibiar tinggal di dalam kemaluan tadi, atau memasukkan jari ke dubur dan kemaluan dengan tujuan untuk melempiaskan nafsu, maka ia membatalkan puasa.
Jika tujuannya adalah untuk istinja' atau membasuh maka hukum yang lebih kuat menurut para ulama adalah tidak batal. (As-Siyam, Dr Md �Uqlah, hlm 211). Ini juga dipersetujui oleh Syeikh Atiyyah Saqar yang mengatakan masuk sesuatu ke telinga dan hidung yang tidak sampai ke perut atau bahagian otak adalah tidak membatalkan puasa (Min Ahsanil Kalam fil Fatawa).
Walaupun begitu adalah lebih baik menjauhinya sekiranya tiada tujuan yang mendesak kerana terdapat pandangan ulama yang mengatakan ianya boleh membatalkan puasa dan perbuatan menjauhi perkara yang terdapat perbezaan pendapat itu adalah lebih baik.

3) Pil elak haid untuk puasa penuh :
Hukumnya : Harus digunakan dengan syarat telah dipastikan oleh doktor yang berwibawa dan boleh dipercayai bahawa penggunaanya tidak membawa mudarat.

4) Penyembur gas untuk pesakit lelah :
Menurut kajian dan pengakuan para doktor, gas semburan itu punyai jisim-jisim putih yang jelas kelihatan jika di sembur di atas kertas. Selain itu, hampir 90 % darinya akan terus masuk ke tekak dan melekat di esophagus dan terus ke perut. Ini bermakna ianya jisim-jisim gas itu masuk ke perut setiap kali semburan. Justeru sudah pasti ia membatalkan puasa. Demikian pandangan awal dari Majlis Fiqh Antarabangsa yang bersidang Julai 2007 baru-baru ini, tetapi mereka telah menarik balik keputusan tersebut untuk dibincangkan lebih terperinci dalam persidangan akan datang.
Bagaimanapun dalam hal ini para ulama masih bergantung kepada maklumat yang lebih jelas dari para doktor bagi memberikan fatwa tepat kerana Syeikh At-Tantawi, Syeikh Dr Muhd �Uqlah, menyebut hukumnya tidak batal kerana gas itu hanya terhenti di paru-paru dan tidak masuk ke perut.
Manakala, ubat lelah jenis hidu melalui hidung adalah membatalkan puasa kerana ia akan masuk ke bahagian kepala. (As-Siyam, Dr Md Uqlah, hlm 226)

5) Suntikan ke dalam tubuh melalui tangan, kaki dan lain-lain anggota selain dari rongga.
Hukumnya : Jika suntikan untuk tujuan perubatan semata-mata, maka ulama telah bersepakat tidak membatalkan puasa (Al-Qaradawi, hlm 100 ; �Uqlah , hlm 226). Demikian juga hukumnya suntikan kalsium dan sebagainya untuk kekuatan badan demi perubatan.
Jika dilakukan suntikan makanan dan air seperti glukos dan lain-lain untuk tujuan memberikan tenaga menggantikan makanan/air maka ia membatalkan puasa.
Tetapi jika suntikan bahan makanan dan air ke dalam badan untuk tujuan perubatan; para ulama sekali lagi berbeza pandangan : Pandangan majoriti adalah : Tidak membatalkan puasa kerana ia tidak masuk ke dalam tubuh melalui rongga terbuka dan ia tidak mengenyangkan serta tidak bercangah dengan hikmah puasa. Ia adalah fatwa oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Syeikh Md Bakhit, Syeikh Abd Rahman Taj, Syeikh Ahmad As-Syurbashi, Keputusan Lajnah Fatwa Azhar tahun 1948 (Taysir Al-Fiqh As-Siyam, hlm 100; Fatawa Syar'iyyah, hlm 268 ; Yasalunaka, 5/53 dll ).

6) Berkumur-kumur dan memasukkan air ke rongga hidung semasa wudhu.
Hukumnya : Tidak membatalkan puasa, cuma jika berlebihan berkumur ulama dalam mazhab Syafie mengatakan ia boleh membatal puasa. Justeru, jauhilah berlebihan berkumur ketika wudhu apatah lagi dengan niat ingin menyegarkan mulut dan badan.
Ia berdasarkan hadith : 'Sempurnakan wudhu , basuhlah celah-celah jari jemarimu, dan lebih-lebihkan menyedut air ke hidungmu kecuali tatkala kamu berpuasa ( Riwayat Abu Daud , no 142 ; At-Tirmidzi, 788 ; Al-Hakim, Sohih menurut Ibn Khuzaymah, Ibn Hibban & Al-Hakim dan dipersetujui oleh Az-Zahabi ; albani ; Sohih).

7) Melakukan Maksiat seperti tidak solat :
Hukumnya : Menurut pandangan mazhab dan ulama yang ramai tidak membatalkan puasa, tetapi dosa maksiat itu akan ditanggung berasingan mengikut jenis maksiat, malah mungkin bertambah besar dosanya kerana menodai kehormatan Ramadhan. Pahala puasanya pula boleh terlupus kerana dosa itu, ia juga telah menyimpang dari tujuan berpuasa iaitu bagi melahirkan insan taqwa dan menjauhi maksiat. (Qaradawi, hlm 104)
Nabi SAW bersabda : 'Barangsiapa sempat bertemu Ramadhan dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauh ia dengan Allah' (Riwayat Ibn Hibban).

8) Mencium lelaki dan wanita semasa berpuasa
Hukumnya : Mencium isteri atau suami tatkala berpuasa, tidak batal menurut majoriti ulama.
Ia berdasarkan beberapa dalil antaranya :-
Riwayat Hadis Nabi SAW yang bermaksud: 'Nabi S.a.w mencium dan bermesra (dengan isterinya) dalam keadaan ia berpuasa, tetapi baginda adalah seorang yang menguasai diri dan nafsunya' (Riwayat Abu Daud, 2/311)
Dalam riwayat yang lain diceritakan : Kami bersama Nabi tiba-tiba didatangi oleh seorang pemuda dan bertanya : Aku berpuasa dan aku mencium isteriku, jawab nabi : Jangan ; tiba-tiba datang seorang tua dan bertanya soalan yang sama : Jawab nabi : Ya ( tiada masalah) ; kami kami saling berpandangan antara satu sama lain, maka nabi berkata :-
'aku tahu apa mengapa kamu saling berpandangan antara satu sama lain, sesungguhnya orang tua mampu mengawal dirinya (nafsu)' (Riwayat Ahmad dan At-Tabrani, sanad terdapat Ibn Lahi'ah yang diperkatakan tentangnya, menyebabkan hadis dianggap dhoif)
Kesimpulannya, ia tidak membatalkan puasa namun ciuman sebegini tidak harus jika ia boleh membawa mudarat seperti menaikkan nafsu dan boleh membawa kepada persetubuhan di siang hari di bulan Ramadhan.

9) Wanita tamat haid
Wanita tamat haid pada waktu malam dan sempat niat sebelum terbit fajar subuh maka sah puasanya walaupun belum mandi hadas.
Jika ia tidak sempat berniat sebelum fajar subuh, kemudian pada jam 8 pagi haidnya kering walaupun ia belum makan dan minum apa-apa pada pagi itu, maka tidak sah ia berpuasa pada hari itu, walaupun begitu lebih afdhal jika ia imsak.
Dalilnya adalah :-
Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud : 'Barangsiapa yang tidak berniat untuk puasa sebelum fajar, tiada puasa (wajib) baginya' ( Riwayat Abu Daud, 3/108 ; Albani : Sohih )

10) Keluar air mazi ; Air mazi adalah air yang keluar dari kemaluan lelaki atau perempuan apabila timbul syahwat. Banyak persoalan berkenaan keluarnya air mazi semasa berpuasa, samada ia membatalkan puasa atau tidak.?
Pendapat dalam mazhab Hanafi, Syafie, Awzai'e, Hasan albasri, As-Sya'bi dan pendapat Imam Ahmad dalam satu fatwanya mengatakan bahawa ia tidak membatalkan puasa.
Walaubagaimanapun kebanyakan ulama dalam mazhab Hanbali menyatakan, ia membatalkan puasa.

11) Keluar air mani tanpa setubuh
Para ulama bersepakat keluar air mani kerana bermimpi di siang hari di bulan Ramadhan atau kerana sakit tertentu tidak membatalkan puasa.
Mereka juga bersepakat mencium dan menyentuh sehingga keluarnya mani dengan syahwat adalah membatalkan puasa dan wajib qadha.
Adapun keluar air mani kerana berfikir lucah dan melihat dengan syahwat, tidak membatalkan puasa menurut mazhab Syafie, Hanafi. (Al-Mughni, 4/159)
Manakala mazhab Hanbali dan Maliki mengatakannya batal kerana ia adalah sama dengan keluar mani kerana sentuhan.
Walaupun sebahagian ulama mengatakan ianya tidak batal, perbuatan berfikir lucah dan melihat dengan nafsu syahwat hendaklah dielakkan kerana ia benar-benar bercanggah dengan tujuan dan maqasid puasa dalam Islam.

12) Menelan air liur
Hukum : Ia tidak membatalkan puasa disebabkan terlalu sukarnya untuk menjaga hal seperti ini. (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/159)

13 ) Mandi
Tiada masalah untuk orang berpuasa mandi apatah lagi mandinya bermaksud untuk mengangkat hadas besar atau bersuci. Dalilnya adalah hadis yang menunjukkan Nabi s.a.w mengizinkan orang yang junub mandi selepas waktu subuh. Ibn Abbas juga pernah disebutkan mandi ketika berpuasa.
Walaubagaimanapun makruh mandi jika bertujuan menyegarkan badan dari keletihan berpuasa apatah lagi jika dilakukan selepas tergelincir matahari (waktu zohor).

1 comments:

Anonymous,  August 11, 2010 at 4:49 PM  

saya melihat aksi b**e tpi sye x rse air mazi itu keluar wlaupun sye dah check sye x rase cecair itu.....
tpi itu memusykil kan sye..perlukah sye mengganti puaseee....saye

Post a Comment

Dari Mana Tu...

About This Blog

Followers

PENAFIAN / DISCLAIMER

  © Blogger template PingooIgloo by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP