Buat Renungan

Friday, July 31, 2009

ADaP Utusan Malaysia sandaran 5A UPSR

KUALA LUMPUR 28 Julai – Program Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP) Utusan Malaysia menjadi sandaran kepada Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) untuk meningkatkan bilangan calon Melayu yang bakal mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini.

Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras, Datuk Wira Syed Ali AlHabshee ketika melancarkan Program Motivasi ADaP dan Skor UPSR di Pusat Rekreasi Cheras di sini kelmarin berkata:

‘‘Tanpa rasa berbelah bahagi, program pendidikan antara kedua-dua agensi itu akan menjadi pemangkin, dan selanjutnya menyemarakkan lagi usaha membangunkan pendidikan para pelajar Melayu di kawasan Cheras.’’

Pada program itu, sebanyak 176 murid calon UPSR 2009 diberi pendedahan tentang teknik dan cara yang betul menjawab soalan kertas Sains, Matematik, Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu Penulisan dan Bahasa Melayu Pemahaman oleh guru-guru pakar panel Utusan Malaysia.

‘‘Daripada 176 yang hadir pada hari ini, saya berharap lebih 90 peratus akan mendapat 5A… bukan 4A atau 3A,” ujar beliau.

Setiap sekolah menghantar lima wakil pelajar.

Syed Ali menambah, YPC kini mempunyai 34 buah sekolah angkat di kawasan Cheras, merangkumi sekolah kebangsaan, sekolah menengah dan tadika.

Beliau turut mengumumkan bahawa setiap peserta yang mengikuti program itu akan menerima RM100 jika mendapat 5A dalam peperiksaan itu nanti.

Sementara itu, Setiausaha Politik Kepada Timbalan Perdana Menteri, Yusoff HM Haniff pula menasihati calon serta ibu bapa menumpukan sepenuh perhatian dan tenaga kepada prestasi akademik anak-anak, dan tidak terlibat dengan sepak terajang politik serta perubahan dasar pendidikan yang menjadi buah mulut orang ramai sekarang.

Sumber: Utusan Malaysia Online

0 comments:

Post a Comment

Dari Mana Tu...

About This Blog

Followers

PENAFIAN / DISCLAIMER

  © Blogger template PingooIgloo by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP