Buat Renungan

Friday, September 25, 2009

Khutbah Jumaat 25 September 2009





Read more...

Wednesday, September 23, 2009

Kurikulum sistem pendidikan Islam diselaras

PUTRAJAYA 15 Sept. - Kerajaan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas bagi menyelaraskan kurikulum dan sukatan pelajaran pendidikan Islam di bawah program Jawi, al-Quran, Arab dan Fardu Ain (j-QAF) serta Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA).

Jawatankuasa tersebut dianggotai oleh Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelajaran dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Islam (Lepai).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu bagi memastikan tidak berlaku pertindihan di antara program j-QAF yang dilaksanakan di semua sekolah kebangsaan dengan KAFA di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

''Memang kita dapati ada keperluan selaraskan kerana matlamatnya adalah sama iaitu memberikan peluang kepada anak-anak kita mendapat ilmu dalam pengajian Islam

''Ini telah disediakan dalam sistem pendidikan kebangsaan kita, di mana kita telah lama mengadakan program mata pelajaran Islam, yang terbaru sejak 2003 apabila kita perkenalkan j-QAf dari darjah satu ke darjah enam," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat hala tuju pendidikan Islam bersama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Khir Baharom di pejabatnya di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan turut memutuskan agar jawatankuasa khas itu meneliti bagaimana program j-QAF dapat dimantap dan diperluaskan ke peringkat sekolah menengah iaitu sehingga tingkatan lima.

''Kalau perlu diperkukuhkan selari dengan perkembangan dan tuntutan semasa dan kehendak masyarakat, ini akan kita laksanakan," katanya.

Muhyiddin berkata, buat peringkat permulaan, usaha penyelarasan itu tidak melibatkan sistem pendidikan Islam di peringkat negeri-negeri dan sekolah agama persendirian.

''Jawatankuasa itu diberi tanggungjawab meneliti soal tenaga pengajar dan kelayakan guru selain persijilan dan akreditasi serta situasi infrastruktur," katanya.

Kata beliau, langkah itu bertujuan memastikan sistem pendidikan Islam di negara ini adalah lengkap dan sempurna.

"Kita mahu anak-anak yang belajar di sekolah kebangsaan diberikan pendidikan agama yang lengkap.

''Sebelum ini timbul pandangan bahawa pelajaran agama di sekolah kebangsaan tidak memadai, kalau itu pandangannya kita boleh menambah baik," katanya.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan bercadang mewujudkan dasar pembelajaran Islam sepanjang hayat yang boleh dilaksanakan melalui Jakim.

''Ini memberikan peluang kepada masyarakat Islam yang tidak berkesempatan mengikuti pendidikan Islam secara formal atau menambah ilmu untuk menguasai ilmu Islam secara mendalam.

''Kita akan teliti supaya umat Islam sentiasa dapat menimba ilmu bukan setakat nak mati, nak hidup pun kena ada asas agama seperti dalam soal menguruskan perniagaan dan muamalat," katanya.

Read more...

Ganjaran khas pendidik

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
pengarang@utusan.com.my
PORT DICKSON 18 Sept. - Kerajaan akan mengumumkan satu bentuk ganjaran khas kepada seluruh warga pendidik berdasarkan prestasi mereka menjelang Oktober ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi (gambar) berkata, ia selari dengan hasrat kerajaan mempertingkatkan akses pengajaran dan pendidikan berkualiti di negara ini.

''Ia masih pada peringkat penelitian yang kini sudah hampir 90 peratus selesai dibincangkan di bawah perincian Bidang Keberhasilan Utama Negara ketiga (NKRA-3).

''Saya yakin ia akan diumumkan sendiri oleh Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada bulan depan," kata beliau.

Mohd. Puad berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program perjumpaan khas bersama warga pendidik daerah Port Dickson di sini malam tadi.

Beliau memberitahu, ganjaran itu akan diberikan kepada sekolah, pengetua dan guru di seluruh negara yang mempamerkan prestasi cemerlang.

''Mana-mana sekolah, guru besar, pengetua dan guru yang menunjukkan prestasi cemerlang, layak untuk diberikan ganjaran berkenaan.

''Inisiatif ini adalah untuk memberikan ganjaran kepada warga pendidik yang komited dalam membantu kerajaan bagi membentuk sekolah berprestasi tinggi menjelang 2012,'' katanya.

Menurutnya, dengan ganjaran itu, warga pendidik tidak lagi perlu memikirkan atau menunggu pemberian bonus serta kenaikan pangkat.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Puad memberitahu, kementerian itu akan mewujudkan sebuah unit khas dalam memperincikan soal pembangunan pendididkan luar bandar.

''Menerusi unit ini, kita yakin ia mampu merapatkan jurang pendidikan antara sekolah di bandar dan luar bandar.

''Unit ini juga akan berfungsi mempertingkatkan bukan sahaja keadaan fizikal sekolah di luar bandar dari segi infrastruktur dan kemudahan malah termasuk soal pemantapan pengisian pendidikan di kawasan terlibat," jelas Mohd. Puad.

Read more...

Thursday, September 17, 2009

100,000 belum daftar Darjah 1

Sep 17, 09 4:50pm
Kira-kira 100,000 kanak-kanak yang sepatutnya memulakan persekolahan pada 2010 dipercayai masih belum didaftarkan di mana-mana sekolah, kata Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata kebanyakan mereka tinggal di luar bandar dan kawasan pedalaman.

"Pihak kementerian peka dengan masalah ini dan akan memastikan hasrat kerajaan menjadikan keciciran sifar akan terlaksana dengan membekalkan kemudahan pendidikan yang berkualiti.

Kementerian Pelajaran menyediakan peruntukan RM4 bilion setahun bagi menyediakan kemudahan seperti Rancangan Makanan Tambahan, buku teks, insentif perjalanan ke sekolah bagi murid yang tidak mampu, serta biasiswa persekutuan, katanya selepas menyampaikan sumbangan Program Bantuan Pelajar di SJK (C) Perak di Ipoh hari ini.

Dr Wee berkata alasan kemiskinan dan tempat tinggal jauh di pedalaman sepatutnya tidak timbul sekarang kerana pelbagai kemudahan dan bantuan telah disediakan.

Beliau berkata semua Pejabat Pendidikan Daerah telah diminta mengesan kanak-kanak yang masih belum bersekolah di setiap daerah supaya mereka dapat disekolahkan segera. BERNAMA

Read more...

Monday, September 14, 2009

Sekolah dibenar ambil cuti peristiwa sempena Aidilfitri

14/09/2009 3:52pm

KUALA LUMPUR 14 Sept. — Kementerian Pelajaran membenarkan sekolah-sekolah mengambil cuti peristiwa atau cuti berganti sempena Aidilfitri yang dijangka disambut pada Ahad atau Isnin ini berikutan permohonan daripada pihak sekolah dan kalangan ibu bapa.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Datuk Alimuddin Mohd Dom berkata keputusan itu diambil bagi membolehkan ibu bapa membuat perancangan awal perjalanan keluarga untuk bercuti di kampung halaman masing-masing dan mengelakkan kesesakan jalan raya.

“Setelah meneliti permohonan dan pandangan yang dikemukakan, Kementerian Pelajaran bersetuju memberi kebenaran kepada sekolah-sekolah untuk mengambil cuti peristiwa iaitu bagi sekolah yang masih mempunyai baki cuti peristiwa, atau cuti berganti bagi sekolah-sekolah yang telah habis cuti peristiwanya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

- BERNAMA

Read more...

Saturday, September 12, 2009

MENGAPA MENGANTUK SEMASA BELAJAR

Ramai pelajar yang apabila mahu belajar terasa mengantuk. Ada pula yang tak sampai 10 minit berada depan buku mata terasa berat. Tidak tahu apa yang dibaca dan ini merugikan diri pelajar itu sendiri. Kali ini saya mahu membincangkan faktor-faktor menyebabkan mengantuk ketika belajar dan bagaimana cara untuk mengatasinya.

Tidak cukup tidur. Ini memanglah punca utama ramai pelajar mengantuk ketika guru mengajar disekolah. Ada sesetengah pelajar yang tidur lewat malam sehingga pukul 1.00 pagi. Sedangkan esok hari persekolahan dan terpaksa bangun awal. Ada yang tidur lewat kerana menelaah pelajaran. Ada pula pelajar yang tidur lewat kerana membuang masa dengan aktiviti yang tidak berfaedah seperti mendengar radio dan ber-IRC (chit chat) di internet sehingga pagi.

Kalaulah ini masalah anda maka nyatalah yang anda belum menetapkan matlamat dalam hidup anda. Pelajar yang bermatlamat tidak buang masa dengan urusan yang sia-sia. Kalau anda tidur lewat kerana mengulangkaji pelajaran maka anda juga perlu ubah tabiat buruk ini. Ingat pelajar yang cemerlang ialah pelajar yang ’study smart’ bukan semata-mata ’study hard’.

Tidur yang berlebih-lebihan. Tidur yang terlalu lama dan kerap juga menjadikan anda mengantuk. Tidur yang mencukupi ialah sebanyak 6-8 jam sehari. Pastikan anda tidak tidur lebih dari tempoh waktu ini.

Makan terlalu banyak. Ini juga merupakan satu tabiat buruk. Apabila anda kuat makan maka perut anda terpaksa bekerja kuat memproses makanan tersebut.

Proses ini memerlukan banyak oksigen dan mengerah banyak tenaga. Ini membuatkan anda akan mudah mengantuk waktu dalam kelas dan ketika mengulangkaji.

Badan terlalu letih. Ada ketikanya anda mengantuk disebabkan badan anda terlalu letih dengan aktiviti sepanjang hari. Kalau anda ada masalah mengantuk cuba senaraikan semua aktiviti luar anda. Ada ketikanya andabersukan atau beriadah secara keterlaluan. Bermain bola diwaktu petang secara berlebih-lebihan.

Berbasikal keliling kampung berjam-jam. Semua aktiviti ini memerah keringat dan membuatkan anda keletihan.

Beriadah dan senaman memang baik untuk kesihatan tetapi tujuannya kena betul.

Perbaiki matlamat anda beriadah. Anda beriadah untuk membolehkan anda segar pada waktu malamnya bagi menelaah pelajaran. 20 – 30 minit sehari adalah mencukupi.

Ada pula sesetengak pelajar keletihan disebabkan aktiviti ko-kurikulum yang berlebih-lebihan. Anda tidak perlu terlalu aktif dalam kegiatan ko-kurikulum hinggakan tiada masa untuk mengulangkaji dan sehingga memenatkan badan.

Terlibat secara ala kadar. Pilih aktiviti yang paling anda minati. Tidak ada gunanya

kegiatan ko-kurikulum anda cemerlang sedangkan SPM anda kecundang. Tidak ada gunanya menjadi olahragawan/olahragawati sekolah tapi akhirnya bekerja hanya sebagai budak kilang.

Oleh itu pastikan kegiatan harian anda seimbang antara pencapaian akademik dan penglibatan ko-kurikulum. Pastikan anda tidak kesuntukan masa. Pastikan anda tetap segar dan tidak mengantuk dimalamnya.

Tiada minat belajar. Masalah ini sering dijadikan alasan oleh ramai pelajar.

Sebelum saya pergi lebih jauh cuba fikirkan sejenak antara MINAT dengan BELAJAR manakah yang wujud terlebih dahulu? Minat tidak tercetus dengan sendirinya dalam diri anda. Ia sesuatu yang wujud disebabkan pengaruh-pengaruh tertentu seperti guru yang baik, penguasaan pelajaran yang sempurna, markah yang tinggi dan sebagainya.

Pernahkah anda dengar adanya pelajar yang dapat markah 90% dalam sejarah berkata yang dia tak minat sejarah? Tidakkk! Oleh itu minat timbulnya apabila anda lihat dalam diri anda ada potensi untuk pergi lebih jauh. Minat mula timbul apabila anda dapat rasakan yang anda mula menguasai sesuatu mata pelajaran.

Oleh itu yang perlu anda perbaiki ialah cara belajar anda dan kegigihan anda sendiri. Anda pelu mempunyai kemahiran belajar yang tinggi agar mudah menguasai setiap perkara baru yang dipelajari.

Berikut adalah beberapa saranan apabila anda membaca buku-buku pelajaran:



” Lihat seimbas kesemua muka surat yang anda akan baca. Dapatkan rangka kasar tentang teks yang bakal anda baca. Dapatkan satu gambaran yang menyeluruh terlebih dahulu.

Perhatikan perkara-perkara yang berikut:

o Tajuk-tajuk kecil – dapatkan perkaitan antara satu tajuk dengan tajuk
yang lain.
o Rajah-rajah.
o Jadual.
o Carta.
o Peta.

” Baca perenggan bahagian pendahuluannya.

” Baca perenggan bahagian penutup atau kesimpulannya.

” Yang terakhir barulah baca ayat demi ayat dan perenggan demi perenggan secara terperinci.

Membaca hanya satu hala. Ramai pelajar yang membaca dan mengharapkan ‘input’ semata-mata. Mereka mengharapkan melalui pembacaan setiap maklumat disuap dari buku ke dalam minda. Proses membaca begini ialah proses sehala dan ia cukup menjemu dan membosankan. Anda perlu berinteraksi secara interaktif antara anda dan buku yang dibaca. Untuk menjadikan proses membaca lebih bersifat dua hala anda perlu lakukan perkara yang berikut:

” Dapatkan 10 – 20 soalan berkaitan tajuk yang mahu anda baca sebelum anda membaca teksnya. Fahami kehendak soalan ini. Apabila anda membaca kelak anda pasti menemui jawapan kepada soalan dan ini pasti meningkatkan tumpuan dan minat anda.

” Sentiasa tanya diri anda sebarang soalan yang bermula dengan Apa? Siapa?

Bila? Dimana? Berapa? Kenapa? dan Bagaimana? Ini membuatkan anda sentiasa mencari maklumat bukan sekadar mengharapkan maklumat itu tersedia untuk anda.

” Selepas satu perenggan atau satu muka surat…. berhenti sejenak. Tanyakan diri anda sekali lagi tentang apa yang telah anda ketahui sebentar tadi. Cuba lakar-lakarkan pada sehelai kertas rajah atau fakta-fakta penting yang anda ketahui. CUba ceritakan semula pada diri anda apa yang telah anda baca.

Ceritakan dalam suara yang boleh didengar oleh telinga anda sendiri.

Dengan cara ini anda menggunakan bahagian otak yang lain untuk memproses maklumat.

Buat nota ringkas. Jangan sekadar membaca sahaja. Cuba kenal pasti kata kunci (lihat artikel terdahulu) dan ringkaskan setiap fakta penting ke dalam bentuk nota ringkas. Dengan melibatkan lebih banyak deria dalam satu-satu proses membaca membuatkan anda rasa seronok. Dengan membuat nota ringkas anda sebenarnya menggunakan bahagian kinestatik diri anda. Kalau sekadar membaca sahaja tanpa sebarang penghasilan nota anda cuma gunakan bahagian visual dan auditori semata-mata. Penglibatan bahagian kinestatik penting kerana ia mengukuhkan lagi ingatan anda terhadap apa yang anda pelajari.

Read more...

Thursday, September 10, 2009

REDtone lancar peraduan 1Malaysia dalam talian

Murid mengibarkan Jalur Gemilang sebagai bersatu-padu di bawah konsep 1Malaysia.


PELAJAR-pelajar sekolah rendah baik di Semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak berpeluang meluahkan perasaan mereka dan berkongsi pandangan mereka mengenai 1Malaysia dalam peraduan yang dianjurkan oleh penyedia perkhidmatan komunikasi alternatif, REDtone International Bhd (REDtone).

Ketua Pengarah Eksekutifnya, Zainal Amanshah berkata, Peraduan Melukis dan Menulis Esei 1Malaysia Dalam Talian ini adalah salah satu daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) REDtone dan bertujuan menyokong konsep 1Malaysia.

Menurut beliau, kanak-kanak melihat sesuatu melalui perspektif mereka yang tersendiri dan melalui peraduan ini pihaknya akan mendapat gambaran sepintas lalu mengenai 1Malaysia.

"Kita juga dapat memahami erti perpaduan daripada kaca mata mereka,” katanya semasa pelancaran peraduan itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Bahagian Komunikasi), Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dr Mohd Ali Mohamad Nor.

Peraduan selama sebulan ini dibahagikan kepada dua seksyen – Kategori Junior bagi pelajar Sekolah Rendah Tahun 1 hingga 3, dan Kategori Senior bagi pelajar Sekolah Rendah Tahun 4 hingga 6.

Peserta-peserta Kategori Junior perlu mengemukakan penyertaan mereka dalam bentuk lukisan manakala bagi Kategori Senior, pelajar-pelajar perlu menulis karangan berbentuk esei. Penyertaan hendaklah dikemukakan secara dalam talian di www.redtone1malaysia.com.my.

Peraduan ini dibahagikan kepada dua kategori kerana pelajar-pelajar lebih muda dalam Sekolah Rendah 1-3 mampu meluahkan pandangan mereka dalam lukisan.

Manakala bagi pelajar tahap dua, penulisan esei merupakan pendekatan berkomunikasi yang lebih berkesan dalam melahirkan idea-idea mereka.

"Esei boleh ditulis sama ada dalam bahasa Malaysia, bahasa Inggeris, Cina atau Tamil," tambah Zainal.


Dr Mohd Ali Mohamad Nor (kiri) melancarkan Peraduan Melukis dan Menulis Esei 1Malaysia Dalam Talian REDtone di Kuala Lumpur baru-baru ini.

kata Zainal lagi, REDtone memilih penghantaran penyertaan secara dalam talian di

www.redtone1malaysia.com.my kerana ia secara tidak langsung menggalakkan para pelajar menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Selain itu, penyertaan juga boleh dihantar pada bila-bila masa mengikut kelapangan pelajar.

Sebagai sebahagian daripada projek Portal Pendidikan ICT REDtone, ia juga untuk memudahkan e-pembelajaran dalam kalangan para pelajar dan perkongsian pengetahuan antara guru-guru sekolah.

Peraduan ini bermula dari 24 Ogos hingga 25 September 2009. Ia terbuka kepada semua pelajar sekolah rendah iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK), Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) di seluruh negara.

Bagi Kategori Junior, ilustrasi boleh sama ada dilukis dengan tangan atau dalam bentuk digital dan hendaklah dikemukakan dalam format JPEG, GIF atau BMP dengan saiz fail tidak melebihi 5MB.

Bagi penyertaan Kategori Senior, panjang esei hendaklah antara 150 hingga 300 patah perkataan.

Lima penyertaan terbaik akan dipilih daripada setiap kategori, dengan setiap pemenang akan membawa pulang komputer meja. Sepuluh hadiah sagu hati berbentuk hamper setiap satu bernilai RM100 juga akan diberi kepada setiap peserta dalam kedua-dua kategori. Sekolah yang mencatat bilangan penyertaan paling ramai dalam setiap kategori juga akan memenangi sebuah komputer meja.

Para pemenang akan diumumkan pada 10 Oktober 2009. Untuk butiran lanjut mengenai peraduan, sila lawati www.redtone1malaysian.com.my.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi BG Tay di talian: (03) 7725 1908 or 012-202 5898;

e-mel: bgnexuspr@pd.jaring.my

FAKTA

Kategori Lukisan tangan atau digital untuk murid junior (Tahun 1-3)

Esei antara 150 hingga 300 patah perkataan untuk murid senior (Tahun 4-6)

Mula 24 Ogos 2009

Tarikh tutup 25 September 2009

Keputusan 10 Oktober 2009

Laman web www.redtone1malaysian.com.my

Read more...

Dari Mana Tu...

About This Blog

Followers

PENAFIAN / DISCLAIMER

  © Blogger template PingooIgloo by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP