Tidak perlu wajibkan topeng di sekolah
Sep 8, 09 12:16pm
Kerajaan berpendapat tidak perlu untuk mewajibkan setiap pelajar sekolah memakai topeng hidung dan mulut dan menjalani ujian pengambilan suhu setiap hari dalam usaha mencegah jangkitan wabak influenza A(H1N1), kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin yang juga menteri pelajaran berkata kerajaan telah mengeluarkan garis panduan mengenai wabak itu, maka terpulang kepada budi bicara ibu bapa serta sekolah kerana mereka lebih tahu apa yang perlu dilakukan.
Katanya, soal pokok adalah menjaga kebersihan diri setiap masa serta memastikan pemakaian topeng tersebut terutama dalam keadaan perlu seperti apabila batuk atau selesema agar tidak menjangkiti pada orang lain.
"Kalau kita rasa kita dalam keadaan selamat sebegini, itu terserah pada kita (sama ada nak pakai atau tidak). Soal mewajibkan saya fikir tak perlu" katanya kepada pemberita ketika ditanya mengapa Kementerian Pelajaran tidak mewajibkan pelajar sekolah memakai topeng mulut dan hidung dan mewajibkan menjalani ujian pengambilan suhu setiap hari sebagai langkah menangani wabak itu yang setakat ini mengorbankan 73 orang di negara ini.
Terdahulu, Muhyiddin meluangkan masa lebih 10 minit melawat pelajar yang menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara di Kuala Lumpur hari ini.
Muhyiddin berkata jika ibu bapa berfikir anak-anak mereka perlu dibekalkan dengan topeng, mereka boleh berbuat demikian.
Menurutnya masyarakat dan ibu bapa sendiri kini lebih sedar mengenai wabak itu berikutan maklumat meluas yang disebarkan oleh kerajaan di dalam mahupun di luar sekolah sejak beberapa bulan ini melalui pelbagai saluran.
"Saya juga fikir sekolah-sekolah, pengetua dan guru-guru pun tahu dan faham. Sekarang ini (keadaan) lebih terkawal," katanya.
Mengenai peperiksaan UPSR yang dijalankan dalam keadaan negara menghadapi wabak influenza A(H1N1) ini, Muhyiddin berkata kementerian telah mengambil segala langkah yang perlu dalam usaha memastikan tiada pelajar dijangkiti wabak itu.
Katanya setiap pelajar telah dibekalkan dengan tiga topeng hidung dan mulut bagi menghadapi peperiksaan tiga hari itu dan pencuci tangan yang mencukupi juga dibekalkan kepada pegawai dan pengawas peperiksaan itu di seluruh negara.
Menurut Muhyiddin, kementerian juga telah membuka bilik gerakan 24 jam peperiksaan UPSR di pejabat Lembaga Peperiksaan Malaysia mulai 1 hingga 11 September, manakala bilik gerakan peringkat negeri di Jabatan Pelajaran Negeri dibuka serentak dengan di peringkat pusat.
Menurutnya hanya empat calon UPSR yang terlibat dengan wabak ini, masing-masing di Pahang, Sarawak, Johor dan Negeri Sembilan dan mereka menduduki peperiksaan seperti calon lain tetapi di hospital di bawah pengawasan doktor dan pengawas peperiksaan.
Seramai 518,096 calon menduduki peperiksaan UPSR tahun ini di seluruh negara di 8,236 pusat peperiksaan. Jumlah pegawai dan pengawas peperiksaan pula 32,924 orang.
Mengenai nasihat kepada ibu bapa agar tidak mengenakan tekanan kepada anak-anak mereka untuk mencapai keputusan cemerlang dalam UPSR, Muhyiddin berkata kebiasaannya ibu bapa memberikan tumpuan lebih agar anak-anak mereka dapat menguasai dengan baik dalam semua matapelajaran yang diduduki.
"Saya percaya ibu bapa faham dan tahu bagaimana nak pastikan mereka (anak-anak) tidak terganggu... dengan cara memberi nasihat, membaca doa dan selawat supaya tenang fikiran," katanya.
Muhyiddin berkata walaupun UPSR merupakan peperiksaan pusat yang pertama diduduki tetapi pelajar-pelajar itu mempunyai pengalaman menduduki pelbagai peperiksaan lain yang diadakan pihak sekolah.
"Saya yakin mereka akan dapat menghadapinya dalam suasana tenang. Mudah-mudahan mencapai keputusan yang cemerlang," katanya. BERNAMA
0 comments:
Post a Comment