Buat Renungan

Monday, August 3, 2009

JANGAN JADIKAN ISU PPSMI UNTUK KEPENTINGAN PERIBADI

KUALA LIPIS 2 Ogos - Pihak tertentu diminta tidak menjadikan isu pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) untuk kepentingan peribadi dan politik pembangkang. Timbalan Menteri Pelajaran yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, isu tersebut telah selesai setelah kerajaan mengambil kira pelbagai aspek dan pandangan banyak pihak. Beliau berkata, tugas Kementerian Pelajaran dan agensi berkaitan adalah untuk memperkasa bahasa Melayu dan meningkatkan pengupayaan bahasa Inggeris sebagai elemen pengetahuan menghadapi saingan global.

''Kerajaan kini akan merancang segera pelaksanaan kaedah pemantapan bahasa Melayu dan penguasaan bahasa Inggeris serta bahasa asing lain di institusi pendidikan negara ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Berkelompok Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Cameron Highlands di Sungai Koyan, dekat sini semalam.

Hadir sama, Ketua UMNO Cameron Highlands, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail; Ketua Pemuda UMNO Cameron Highlands, Azizi Ahmad; Ketua Wanita UMNO Bahagian, Ramizah Hussin dan Ketua Puteri, Jamilah Hassan.

Menurut Mohd. Puad, kerajaan bergerak di landasan yang betul iaitu memansuhkan PPSMI kerana mahu memperkasakan Bahasa Melayu yang merupakan akar budaya dan pembinaan tamadun bangsa.

''Kita mahu maju dengan acuan sendiri. Malah tidak ada negara di dunia yang maju dengan meminjam bahasa orang lain,'' katanya.

Beliau berkata, perjuangan bahasa dan budaya Melayu merupakan dasar yang perlu didokongi bersama kerana ia membabitkan soal membina jati diri dan kekuatan bangsa.

Sehubungan itu, beliau meminta pemimpin UMNO di semua peringkat menjelaskan kepada rakyat mengenai keputusan kerajaan itu terutama berhubung kedudukan Bahasa Melayu sebagai lingua franca.

Dalam pada itu, beliau berkata, pemimpin UMNO bahagian dan cawangan perlu berani dan berwatak 'Jebat' dengan menjadikan UMNO sebagai landasan untuk menangkis tohmahan pembangkang yang tidak suka pembangunan yang dilaksanakan kerajaan.

''Keberanian ini perlu ada agar UMNO dan Kerajaan Barisan Nasional tidak diperlekehkan sesuka hati sedangkan apa yang kita (kerajaan) laksanakan untuk kepentingan penduduk di negara ini,'' katanya.

0 comments:

Post a Comment

Dari Mana Tu...

About This Blog

Followers

PENAFIAN / DISCLAIMER

  © Blogger template PingooIgloo by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP