Buat Renungan

Wednesday, September 30, 2009

Akademik atau sukan?

Oleh AZMY MOHAMED

SUkan adalah satu kerjaya yang menjamin masa depan. - Gambar hiasan


MUNGKIN telah tiba masanya untuk Kementerian Pelajaran untuk membangunkan kurikulum khas untuk pelajar yang ingin melibatkan diri dalam sukan secara serius dan profesional.

Bermula daripada darjah satu, ibu bapa atau penjaga yang mahukan anak mereka menjadi atlet cemerlang perlu memberi persetujuan secara bertulis untuk mengikuti program khas berkenaan. Ia juga sejajar dengan usaha mentransformasi sistem pendidikan negara agar tidak terlalu bberorientasikan pendidikan.

Pelajar yang mengikuti kurikulum itu tidak lagi perlu dibebani dengan pencapaian akademik. Penilaian mereka berdasarkan kecemerlangan dalam sukan yang mereka pilih dan sertai. Bukan lima A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tetapi pingat emas dan piala kejuaraan.

Dengan ini, pelajar akan lebih fokus dalam latihan dan tidak lagi perlu mengulang kaji pelajaran selepas penat berlatih. Bagaimanapun pendidikan asas yang melibatkan kemahiran membaca, menulis dan mengira tidak boleh diabaikan. Hal ini penting untuk mereka mengikuti perkembangan semasa dan menguruskan kewangan masing-masing apabila dewasa kelak.

Paling utama, kehadiran kumpulan pelajar khas ini akan memudahkan guru menyediakan pemain untuk menyertai sebarang pertandingan atau kejohanan sukan tanpa menjejaskan jadual waktu pelajar lain.

Perkara ini sering menjadi pertikaian dan dilema kepada guru kokurikulum khususnya ketika menjelang hari sukan atau pertandingan antara sekolah di peringkat zon, daerah mahupun negeri.

Dalam konteks ini, perlawanan hendaklah diadakan secara liga - bukan kalah mati. Pertambahan bilangan perlawanan akan meningkatkan kemahiran pelajar dalam sesuatu acara sukan tersebut. Jumlah kejohanan dan pertandingan sukan juga perlu diperbanyakkan untuk meningkatkan persaingan. selain itu, ia boleh dijadikan faktor pemilihan ke sekolah sukan, sekolah kluster dan sekolah berasrama penuh.

Kesinambungan ini penting sebagai galakan dan pendorong kepada ibu bapa agar memilih sukan untuk kerjaya anak mereka. Tambahan pula, kini sukan bukan sekadar satu permainan tetapi telah menjadi satu perniagaan.

Sukan menjanjikan pulangan yang lumayan. Lihat sahaja Christiano Ronaldo, Michael Schumacher dan Maria Sharapova (sekadar menyebut beberapa nama) yang cemerlang, ternama dan kaya-raya.

Pendapatan atlet ini dijana daripada hadiah kemenangan, penajaan dan yuran penampilan.

Kita juga ada bintang yang bergelar jaguh dan pemain nombor satu dunia, misalnya Datuk Nicol Ann David (skuasy) dan Datuk Lee Chong Wei (badminton).

Tanpa prejudis dan mempertikaikan keputusan akademik atlet-atlet ini, kita sebenarnya tidak pernah peduli dengan keputusan peperiksaan atau pencapaian akademik mereka. Segalanya 'terlindung' di sebalik kegemilangan yang mereka capai setelah berusaha daripada usia muda.

Kejayaan yang sama pernah dirasai oleh anak-anak Sidek dalam badminton, Nurul Huda Abdullah dalam renang dan Shalin Zulkifli dalam bowling. Mereka ada satu persamaan - ibu bapa mereka memilih untuk melatih anak mereka untuk cemerlang dalam sukan sejak awal.

Ganjaran yang diterima oleh atlet ini juga bukan calang-calang. Sejak 2005, kerajaan memperkenalkan skim pencen untuk pemenang pingat Olimpik.

Pemenang pingat emas menerima RM3,000 setiap bulan, diikuti RM1,500 untuk perak dan RM1,000 gangsa.

Bagi skim insentif Olimpik pula, pemenang pingat emas Olimpik akan menerima habuan RM160,000, manakala pingat perak dan gangsa, menawarkan RM80,000 dan RM40,000 masing-masing.

Terkini kerajaan sedang mengkaji untuk memberi gaji bulanan kepada pemenang pingat Olimpik.

Kepada ibu bapa, kenali potensi anak dan buat pilihan yang tepat - akademik atau sukan?

0 comments:

Post a Comment

Dari Mana Tu...

About This Blog

Followers

PENAFIAN / DISCLAIMER

  © Blogger template PingooIgloo by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP